BAHARUDIN (tengah) menunjukkan barangan yang dirampas selepas tertumpasnya Geng Awang Hitam. FOTO Rosli Ilham.
BAHARUDIN (tengah) menunjukkan barangan yang dirampas selepas tertumpasnya Geng Awang Hitam. FOTO Rosli Ilham.
Rosli Ilham


POLIS memburu beberapa lelaki dipercayai terbabit dalam kes pukul inspektor polis hingga cedera di pipi dan kepala.

Mereka dipercayai mencederakan pegawai berusia 30-an itu ketika operasi cegah lumba haram di Batu 48, Dungun, pada 6 petang Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Baharudin Abdullah berkata, mangsa yang cedera adalah Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun.

Katanya, mangsa sebelum itu bersama pasukan melakukan sekatan jalan raya (SJR) dan mengarahkan sekumpulan penunggang memberhentikan motosikal masing-masing.

“Mangsa kemudian menahan suspek berusia 23 tahun yang bekerja di kedai mencuci kenderaan di Kuala Terengganu untuk pemeriksaan, malah mencabut kunci motosikalnya jenis Yamaha RXZ bagi mengelak dia melarikan diri.

“Bagaimanapun, datang sekumpulan rakan suspek membuat kecoh dan mangsa dicederakan. Susulan itu, lelaki itu ditahan bersama dua lagi rakannya.

“Manakala, kita mencari beberapa lagi rakan mereka untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam bertugas dan Seksyen 427 kanun sama kerana khianat,” katanya pada sidang media di IPD Dungun, hari ini.

Dalam pada itu, Baharudin berkata, pihaknya turut menumpaskan Geng Awang Hitam yang dipercayai aktif melakukan jenayah pecah rumah di Dungun dan Kuala Terengganu sejak 2018.

Menurutnya, empat ahli geng itu termasuk seorang wanita yang berusia 30 hingga 40 tahun ditahan dalam tiga tangkapan berasingan di Kampung Chabang Tiga, Kuala Terengganu, Isnin lalu.

“Kita menemui 226 pelbagai jenis barangan yang disimpan di stor sebuah rumah dipercayai hasil kegiatan berkenaan.

“Dalam soal siasat, suspek mendakwa menjual barangan itu kepada kenalan mereka dengan harga yang murah. Mereka sudah melakukan lebih 30 kes pecah rumah,” katanya.

Katanya, ketua geng berusia 39 tahun mempunyai 33 rekod jenayah lampau berkaitan kes pecah rumah dan dadah.

“Mereka direman selama empat hari dan kita akan memohon lanjutan reman bagi meneruskan siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 January 2020 @ 8:29 PM