GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Zatul Iffah Zolkiply


LELAKI cedera dengan lapan kesan tikaman di beberapa bahagian tubuhnya selepas diserang abangnya dalam pergaduhan di Jalan Gong Pasir, Dungun, semalam.

Mangsa berusia 31 tahun dan tidak bekerja itu cedera di lengan kiri, tulang rusuk kanan, dada dan belakang badan.

Kejadian menimpa mangsa yang berlumuran darah selepas diserang suspek disedari ibu mereka yang kemudian memaklumkan kepada adik lelaki mereka berusia 28 tahun.

Adik mereka yang sebelum itu berada di kedai bergegas pulang ke rumah 12.20 tengah malam.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Dungun untuk rawatan lanjut.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati terdapat beberapa kesan tikaman di lengan kiri, tulang rusuk bawah kanan, dada dan belakang badan mangsa, namun lelaki terbabit dilaporkan dalam keadaan stabil.

“Susulan laporan dibuat, suspek berusia 43 tahun ditahan di rumahnya kira-kira 2.30 pagi hari sama dan kita turut merampas sebilah pisau lipat yang dipercayai digunakan suspek untuk menyerang adiknya,” katanya.

Baharudin berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian.

Katanya, suspek kini direman selama empat hari sehingga Isnin ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 September 2018 @ 3:20 PM