GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Asrol Awang


Kuantan: Geng Apih Kapak yang dipercayai aktif melakukan kes pecah kedai perkakasan rumah di Pahang dan Terengganu sejak Ogos lalu, tumpas susulan penahanan lima lelaki dalam operasi antara 19 hingga 23 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, kesemua suspek berusia antara 20 hingga 33 tahun.

Katanya, empat lelaki termasuk ketua kumpulan ditahan di sini, manakala seorang lagi di Dungun, Terengganu.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati mereka terbabit dalam 11 kes pecah kedai perkakasan rumah iaitu tujuh kes di Pahang yang membabitkan kerugian RM40,000 dan empat kes di Terengganu.

"Modus operandi kumpulan ini adalah memecah masuk kedai selepas ditutup dan mensasarkan wang tunai di dalam peti tunai di premis itu.

"Dua ahli kumpulan ini akan memasuki kedai perkakasan rumah itu melalui tingkap tandas dengan mengumpil jeriji.

"Difahamkan, mereka akan menggunakan peralatan yang ada di dalam kedai untuk membuka peti tunai itu," katanya di sini, hari ini.

Mohd Noor berkata, pihaknya turut merampas sebuah kereta dan masing-masing satu unit telefon bimbit, pemutar skru, mesin gerudi dan perakam rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Katanya, kelima-lima suspek juga positif dadah jenis methamphetamine, selain mempunyai kesalahan lampau berkaitan jenayah dan dadah.

"Mereka kini ditahan reman dan akan disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 November 2020 @ 3:52 PM