MOHD Shafie diiringi Peter ketika majlis perasmian Cawangan Wawasan WARISAN Kampung Kelatuan. FOTO Khairull Azry Bidin
MOHD Shafie diiringi Peter ketika majlis perasmian Cawangan Wawasan WARISAN Kampung Kelatuan. FOTO Khairull Azry Bidin
Norasikin Daineh


“MEREKA (UMNO dan Barisan Nasional) bukan tahu ‘tuhau’ (makanan tempatan), bukan tahu ‘bambangan’ (buah tempatan), yang tahu orang kita (Sabah), ” kata Naib Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Peter Anthony.

Peter turut mengingatkan rakyat di kawasan Parlimen Kimanis untuk menolak kehadiran parti ‘luar’, khususnya Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) parlimen itu, 18 Januari ini.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah berkata, penduduk kawasan itu perlu memilih calon WARISAN yang mewakili parti tempatan Sabah.

Katanya, hanya parti tempatan yang tahu apa yang diperlukan rakyat Sabah.

“UMNO, BN di Kuala Lumpur pun sudah ‘bertempiaran’, yang di Kuala Lumpur pun mereka sudah tidak boleh atur, apa lagi mahu atur di tempat kita, kita yang tahu apa yang kita mahu.

“Bagi ruang kepada Ketua Menteri (Datuk Seri Mohd Shafie Apdal), satu tahun lebih saja.

“Rakyat tahu dan saya sendiri nampak. Bagi mandat kepada WARISAN, bantu kami dan bagi menang calon, (Datuk) Karim Bujang,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Cawangan Wawasan Parti Warisan Sabah di Kampung Kelatuan, Kimanis, hari ini.

Peter berkata, WARISAN memerlukan mandat daripada rakyat di Kimanis untuk memajukan kawasan itu dan memperjuangkan hak Sabah.

“Kita mahu supaya Sabah ini maju, kita mahu parti WARISAN selaku parti tempatan ini dihormati, disegani dan yang boleh memperjuangkan hak sabah.

“Kita perlu mendapatkan mandat daripada masyarakat Kimanis, Membakut dan Bongawan, bukan saja untuk (hak) Sabah, tetapi (Parlimen) Kimanis,” katanya.

Peter turut menyeru jentera parti itu turun padang dan membuat lawatan rumah ke rumah supaya rakyat mengundi calon WARISAN.

  • Lagi berita berkaitan PRK Kimanis
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 January 2020 @ 8:19 PM