AHLI keluarga mangsa yang maut dalam kemalangan, malam tadi. FOTO Abdullah Yusof.
AHLI keluarga mangsa yang maut dalam kemalangan, malam tadi. FOTO Abdullah Yusof.
Balqis Jazimah Zahari


“KAMI sudah rancang untuk mengadakan perjumpaan keluarga pada cuti Tahun Baru Cina ini dan berjumpa emak pada hari berkenaan.

“Apakan daya, hasrat tidak menjadi kenyataan,” kata K Yogambigai, 31.

Dia anak kepada S Thavamalar, 52, yang maut dalam kemalangan membabitkan lapan kenderaan termasuk treler di Kilometer 246.1 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan dekat Kuala Kangsar, semalam.

Yogambigai berkata, kali terakhir dia berjumpa ibunya, bulan lalu dan mendiang Thavamalar tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap yang ketara.

“Saya sudah lama tidak berjumpa emak. Ingat dapatlah berjumpa ketika kami bertemu nanti tetapi kejadian ini pula berlaku... saya sedih dan terkilan, tidak sempat berjumpa dengannya,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh, hari ini.

Yogambigai yang juga Lans Koperal Polis bertugas di Bukit Aman berkata, ketika kejadian, mendiang ibunya bersama lima rakan dalam perjalanan pulang dari kuil di Kuala Kangsar untuk upacara keagamaan.

Katanya, dia mengetahui kejadian selepas dihubungi ahli keluarga rakan mendiang yang turut berada di kuil.

Sementara itu, G Mohaneshwari, 21, yang juga anak saudara kepada seorang lagi mangsa maut iaitu K Aruna, 56, berkata, ibu saudaranya bersama rakan-rakannya adalah ahli persatuan keagamaan yang sering mengadakan perjumpaan.

“Kali terakhir berjumpa dengan ibu saudara saya ketika cuti awal tahun lalu dan dia tidak menunjukkan sebarang perubahan, malah melayani kami seperti biasa.

“Semua mereka sering ke upacara keagamaan dan pulang antara 9 hingga 10 malam. Bagaimanapun, malam tadi, dia lewat pulang.

“Apabila kami menghubunginya, panggilan telefon dijawab oleh individu lain,” katanya.

Berita berkaitan:

  • 3 maut, 9 cedera
  • Tiga mangsa maut dikenal pasti [METROTV]
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 January 2020 @ 1:54 PM