SUSPEK ditahan kerana disyaki menjual peralatan mengebom ikan. FOTO Juwan Riduan
SUSPEK ditahan kerana disyaki menjual peralatan mengebom ikan. FOTO Juwan Riduan
Juwan Riduan


PASUKAN Polis Marin (PPM) menahan dua lelaki kerana disyaki menjual peralatan mengebom ikan dalam serbuan Ops Gelora di dua rumah Kampung Sri Langgas, Kunak, semalam.

Kedua-dua lelaki berusia lingkungan 30 tahun itu ditahan sepasukan Unit Risikan Marin (URM) PPM Lahad Datu selepas menerima maklumat orang awam berkaitan aktiviti pengeboman ikan di perairan laut Kunak, kira-kira 6 pagi.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, hasil pemeriksaan ke atas dua rumah itu menemui baja ammonia seberat hampir 22 kilogram.

"Anggota PPM Lahad Datu turut merampas 45 bahan peledak dan dua sumbu dipercayai digunakan untuk pengeboman ikan.

"Siasatan mendapati kedua-dua suspek disyaki menjual peralatan berkenaan kepada individu tertentu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, jumlah rampasan dianggarkan bernilai RM1,070.

"Tangkapan dan rampasan dibawa ke Pangkalan PPM Lahad Datu untuk tindakan selanjutnya.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1956," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 January 2020 @ 9:51 PM