TINJAUAN segelintir pelanggan masih lagi menghisap rokok kawasan premis perniagaan di Kuala Lumpur. FOTO Syarafiq Abd Samad
TINJAUAN segelintir pelanggan masih lagi menghisap rokok kawasan premis perniagaan di Kuala Lumpur. FOTO Syarafiq Abd Samad
Siraj Mohd Zaini


SEBANYAK 150 notis kesalahan dengan nilai kompaun berjumlah RM30,750 dikeluarkan kepada individu yang merokok di tempat makan sepanjang operasi penguatkuasaan larangan merokok yang dilakukan sepanjang dua hari lalu di seluruh negeri Selangor.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) Datuk Dr Khalid Ibrahim berkata, notis kesalahan itu dikeluarkan di bawah Peraturan 11(1)(d) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 pindaan 2018.

Menurutnya, seramai 147 pegawai penguatkuasa JKNS menjalankan operasi penguatkuasaan di 257 premis mulai 1 Januari 2020 hingga semalam.

“Daripada 150 notis dikeluarkan, tujuh notis membabitkan orang belum dewasa iaitu remaja dan seorang daripadanya didapati bersalah kerana memiliki rokok elektronik.

“Semua operasi penguatkuasaan berjalan serentak bagi memastikan undang-undang mengenai larangan merokok di premis berkenaan dikuatkuasakan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya turut mengeluarkan sebanyak 20 notis kesalahan dengan jumlah kompaun keseluruhan RM5,000 kepada pemilik premis dengan 18 notis kesalahan kerana gagal mempamerkan tanda larangan merokok, manakala dua lagi notis kerana menyediakan kemudahan merokok.

“Bagi mereka yang telah menerima notis kesalahan kerana merokok di tempat makan, dikenakan kompaun sebanyak RM250 dan bagi remaja adalah RM50.

“Mereka yang melakukan kesalahan pertama boleh dikurangkan kompaun kepada RM150 jika pembayaran dijelaskan di mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah dalam tempoh satu bulan daripada tarikh izin kompaun diterima.

“Bagi kesalahan kedua, tiada pengurangan kompaun diberikan. Kompaun lebih tinggi iaitu sebanyak RM350 akan dikenakan bagi mereka yang melakukan kesalahan kali ketiga jika berlaku dalam tempoh Januari hingga Jun,” katanya.

Mengulas lanjut, Khalid berkata, mulai Julai tahun ini tiada lagi tawaran kompaun sebaliknya tindakan pendakwaan akan dilaksanakan.

“Pihak JKNS memohon kerjasama semua pihak agar mematuhi larangan merokok ini bagi memastikan kesihatan masyarakat terjamin.

“Bagi golongan perokok yang berhasrat untuk berhenti merokok, mereka dialu-alukan untuk mendapatkan khidmat nasihat di semua perkhidmatan berhenti merokok mQuit yang telah disediakan di semua klinik kesihatan dan hospital kerajaan di seluruh negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 January 2020 @ 1:52 PM