GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Erika George


POLIS Sarawak menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah yang didalangi tujuh warga tempatan dan asing membabitkan rampasan bernilai lebih RM1 juta di enam lokasi berbeza sekitar Bandaraya Miri, semalam.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Ramli Din berkata, semua suspek yang terdiri empat lelaki tempatan, dua wanita tempatan dan seorang wanita warga Indonesia berusia antara 21 hingga 38 tahun ditahan di kawasan Pujut 2B, Desa Senadin, Jalan Muria 1, Miri Waterfront, Kampung Tudan dan Jalan Sri Dagang.

“Serbuan antara 3.45 pagi hingga 6 pagi yang dijalankan sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak itu berjaya merampas dadah jenis syabu seberat 9 kilogram, pil ecstasi sebanyak 16,250 biji, serbuk ketamin 349 gram, serbuk ecstasy 449 gram dan pil Erimin 5 sebanyak 2,250 biji,” katanya.

Beliau berkata, pasukan JSJ turut menyita dua kenderaan mewah yang dianggarkan bernilai RM105, 000 dipercayai digunakan oleh suspek menjalankan kegiatan haram mereka itu.

Menurutnya, siasatan akan diteruskan bagi memburu saki-baki suspek yang dipercayai terlibat secara langsung dalam aktiviti pengedaran dadah sekitar Bandarraya Miri, sekali gus melumpuhkan sindiket pengedaran ini.

“Dengan tumpasnya sindiket pengedaran dadah ini menjadi satu lagi kejayaan polis dalam membanteras kegiatan pengedaran dadah di Miri,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 January 2020 @ 1:40 PM