Pelbagai bungkusan dadah serta peralatan yang digunakan untuk memproses dadah dirampas daripada suspek. FOTO MELVIN JONI
Pelbagai bungkusan dadah serta peralatan yang digunakan untuk memproses dadah dirampas daripada suspek. FOTO MELVIN JONI
Melvin Joni

PASANGAN kekasih berdepan tali gantung selepas ditahan kerana disyaki memproses dadah di sebuah kondominium mewah di Miri, malam tadi.

Keduanya yang juga warga tempatan berusia 28 dan 43 tahun itu ditahan dalam serbuan yang dijalankan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di kondominium terbabit sekitar pada 8 malam.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Dev Kumar berkata, pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai lebih RM1.3 juta dirampas dalam serbuan itu.

Menurutnya, antara dadah yang dirampas termasuk serbuk ecstasy seberat 9.055 kilogram, pil ecstasy (756 gram), ketamin (998 gram), Eramin 5 (3.159 kilogram), serbuk Eramin 5 (3.14 kilogram) dan syabu (233 gram).

"Pemeriksaan juga mendapati suspek menjadikan kondominium mewah itu sebagai makmal mini untuk memproses dadah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, hasil ujian saringan turut mendapati suspek lelaki positif dadah jenis methamphetamine manakala suspek wanita pula positif ketamin.

Katanya, suspek bersama barangan kes kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Ogos 2020 @ 4:13 PM