MOHD Khalil (kanan) menunjukkan pelbagai jenis dadah bernilai RM3.2 juta yang dirampas. FOTO Ifwan Tun Tuah
MOHD Khalil (kanan) menunjukkan pelbagai jenis dadah bernilai RM3.2 juta yang dirampas. FOTO Ifwan Tun Tuah
Ifwan Tun Tuah


POLIS Johor menahan tiga lelaki berusia 27 hingga 31 tahun termasuk dalang utama sindiket pengedaran dadah antarabangsa dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM3.2 juta dalam empat serbuan di sekitar negeri ini, kelmarin.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd, berkata kejayaan itu hasil serbuan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor dengan kerjasama Bukit Aman.

Turut dirampas barangan lain termasuk kereta mewah, barang kemas dan wang tunai dengan nilai keseluruhan RM178,000.

“Operasi bermula dengan serbuan di sebuah kilang dan gudang logam di Taman Austin, Johor Bahru, membolehkan kita menahan seorang suspek.

“Pasukan kita kemudian menahan seorang lagi suspek di Plaza Tol Kulai,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.

Hadir sama, Pemangku Timbalan Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Kamarul Zaman Mamat.

Katanya, susulan penahan dua suspek itu, seorang lagi rakan mereka ditahan di Taman Desa Tebrau sebelum serbuan berasingan dilakukan di sebuah premis lain di Taman Austin.

“Hasil semua serbuan itu, kita merampas 119,400 biji pil Erimin 5, pil ecstasy (17,450 biji), serbuk ecstasy (8.4 kilogram), ketamin (220 gram) dan cecair syabu (415 gram),” katanya.

Mohd Khalil berkata, siasatan mendapati semua suspek yang juga warga tempatan itu mempunyai rekod jenayah lampau dan dua daripada mereka dikesan positif dadah ketika ditahan.

Katanya, semua mereka direman sehingga 7 Jun ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sindiket terbabit dipercayai aktif sejak lima bulan lalu dengan mendapatkan bekalan dari sebuah negeri di utara tanah air dan mensasarkan pengedaran untuk pasaran tempatan dan antarabangsa.

Katanya, berdasarkan penemuan sejumlah dadah dibungkus dalam plastik menyerupai bungkusan Pos Laju, beliau tidak menolak kemungkinan sindiket itu turut menggunakan perkhidmatan kurier untuk penghantaran kepada pembeli.

Namun, katanya, siasatan lanjut masih dijalankan mengenainya.

Beliau berkata, pihaknya percaya masih ada ahli sindiket yang bebas dan gerakan memburu mereka sedang dilakukan.

Mohd Khalil berkata, berdasarkan beberapa kejayaan rampasan dadah yang besar oleh pihaknya sejak beberapa bulan lalu, beliau percaya sindiket mungkin sedang menguji sama ada negeri ini sesuai dijadikan transit aktiviti pengedaran dadah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Jun 2019 @ 1:39 PM