Rudy Syareme Sheriffudin


DUA beradik yang disyaki terbabit dalam kes memproses dan membungkus dadah jenis ecstasy dan ubat tiruan bernilai RM770,000 ditahan polis dalam serbuan di Taman Sri Rambai, Bukit Mertajam, Khamis lalu.

Serbuan 5.30 petang itu membabitkan sepasukan pegawai dan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Negeri ke rumah dan menahan wanita berusia 44 tahun.

Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Roslee Chik berkata, dalam pemeriksaan itu pihaknya menemui satu alat kawalan jauh pagar dan kunci rumah serta bil elektrik.

Beliau berkata, siasatan mendapati rumah berkenaan terletak kira-kira 500 meter dari rumah keluarga suspek dan ketika pemeriksaan didapati rumah berkenaan digunakan untuk memproses dadah jenis estasy.

Katanya, hasil pemeriksaan 7,235 biji pil ecstasy, 2.13 kilogram serbuk ecstasy dan 1.3 kilogram serbuk kafien dan 58 kilogram ubat tiruan dianggarkan bernilai RM770,000 ditemui.

"Pemeriksaan lanjut kemudian menahan abang suspek wanita itu berusia 46 tahun pada 5.15 pagi Jumaat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ketika cuba melarikan diri ke Miri, Sarawak selepas mengetahui adiknya ditahan polis.

"Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati mandatori," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 September 2017 @ 10:41 AM
ROSLEE (tengah) menunjukkan pil ubat palsu yang dirampas. FOTO Mikail Ong
ROSLEE (tengah) menunjukkan pil ubat palsu yang dirampas. FOTO Mikail Ong