SEBAHAGIAN pelanggan yang diperiksa di pusat hiburan di Jalan Ibrahim Sultan, Stulang Laut, Johor Bahru, awal pagi hari ini. FOTO ihsan polis.
SEBAHAGIAN pelanggan yang diperiksa di pusat hiburan di Jalan Ibrahim Sultan, Stulang Laut, Johor Bahru, awal pagi hari ini. FOTO ihsan polis.
Izlaily Nurul Ain Hussein


MENJUAL kalung bunga mengikut kod tertentu dengan harga bermula RM50 hingga RM50,000 dijadikan kaedah bagi pusat hiburan di Johor Bahru, menawarkan wanita asing sebagai ‘peneman’ kepada pengunjung.

Perbuatan itu terbongkar sejurus polis menjalankan serbuan di premis di Jalan Ibrahim Sultan, Stulang Laut, hari ini.

Dalam operasi Ops Noda bermula dari 1.30 pagi hingga 6 pagi itu, seramai 86 individu termasuk warga asing yang juga pekerja pusat hiburan itu selain wanita dari pelbagai negara ditahan.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Risikan/Operasi Johor, Asisten Komisioner Hoo Chuan Huat berkata, turut ditahan seorang lelaki tempatan yang bekerja sebagai juruwang di premis terbabit.

“Hasil serbuan, 86 individu ditahan iaitu seorang lelaki tempatan yang juga juruwang, 15 wanita Vietnam, enam wanita China, 42 wanita Thailand serta masing-masing seorang wanita Myanmar, Laos, Kemboja, Indonesia dan Korea.

“Kami turut menahan 11 lelaki Thailand, seorang lelaki Indonesia dan lima lelaki Bangladesh yang dipercayai pekerja di situ.

“Semua yang ditahan berusia antara 32 hingga 56 tahun,” katanya.

Beliau berkata, turut dirampas lapan resit perniagaan dan wang tunai RM900.

Katanya, hasil risikan di premis itu, mereka menggunakan konsep kalung bunga dengan nilai kalungan bermula dari RM50 hingga RM50,000 dan terdapat kod tertentu.

“Setiap kali dikalungkan bunga itu, 60 peratus daripada nilai kalungan diambil syarikat, manakala 40 peratus diberi kepada wanita terbabit.

“Setiap hari wanita itu perlu mendapatkan jualan sekurang-kurangnya RM500 bagi melayakkan mereka mendapat gaji asas RM250 sehari.

“Jika gagal mencapai jualan RM500 itu, gaji wanita berkenaan akan berkurangan,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 11(2) Enakmen Hiburan Negeri Johor 1998, Seksyen 55B serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 39B Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Seramai lima pegawai dan 26 anggota terbabit dalam operasi berkenaan disertai Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) JSJ Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.

Operasi dibantu Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan (JBS), IPD Johor Bahru Utara (JBU), IPD Iskandar Puteri dan IPD Kulai.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 January 2020 @ 3:57 PM