STAGG Bukit Aman menjalankan siasatan serta pemeriksaan di  pusat hiburan di Taman Melaka Raya yang diserbu, semalam.
STAGG Bukit Aman menjalankan siasatan serta pemeriksaan di pusat hiburan di Taman Melaka Raya yang diserbu, semalam.
Oleh Mohd Hilmie Hussin


Melaka: Seramai 31 pelayan pelanggan (GRO) warga asing antara 39 yang dicekup polis dari cawangan Skuad Taktikal Khas Antimaksiat, Perjudian dan Gangsterisme (STAGG) Bukit Aman di sebuah pusat hiburan di Taman Melaka Raya, di sini, awal pagi semalam.

Dalam operasi bermula jam 12.30 tengah malam dan berakhir empat jam kemudian, polis turut menahan dua lelaki tempatan dipercayai pengurus pusat hiburan itu, seorang juruwang lelaki tempatan, dua lelaki Myanmar (pekerja) dan seorang lelaki China (penyanyi) berusia antara 21 hingga 42 tahun.

Semua 39 yang ditahan didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen serta Seksyen 55B, Seksyen 39B dan Seksyen 6(1) Akta Imigresen.

Pegawai Operasi STAGG Asisten Superintendan Mohd Nahar Nayan berkata, siasatan awal, wanita warga asing terbabit turut menawarkan khidmat seks.

“Antara modus operandi yang digunakan, GRO dibawa pulang oleh pelanggan selepas ‘dibeli’ melalui kalungan selendang atau mahkota mahupun jubah mengikut pelbagai harga yang disediakan dalam pusat hiburan itu,” katanya ketika ditemui.

Beliau berkata, selain itu, pemeriksaan ke atas 33 pelanggan pula berjaya mengesan seorang lelaki tempatan mempunyai tiga rekod lampau yang juga bekas ahli kumpulan kongsi gelap Gho Sek.

Katanya, dalam operasi sama, pihaknya turut merampas wang tunai RM2,239, resit catatan urusan jualan kalungan bunga, mahkota dan jubah (10 keping).

“Kita juga merampas lima mahkota yang setiap satu bernilai RM500, tiga selendang (RM100 hingga RM300), jubah (RM1,000 hingga RM5,000), pelbagai jenis minuman keras (30 botol), pelbagai jenis rokok (empat karton), resit perniagaan (lima keping) serta wang tunai RM2,600 hasil jualan (selendang/mahkota/jubah).

Menurutnya, semua yang ditahan dihantar ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Disember 2015 @ 5:17 AM