RUSDI pada sidang media di Bukit Aman. FOTO Saifullizan Tamadi
RUSDI pada sidang media di Bukit Aman. FOTO Saifullizan Tamadi
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Enam mak nyah antara 91 pelayan pelanggan (GRO) yang ditahan dalam serbuan Op Noda di sebuah pusat hiburan di Taman Tampoi Indah, Johor Bahru, Johor pada 12 Oktober lalu.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman (Siasatan dan Perundangan) Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, serbuan itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian D7 (Pencegahan Judi, Maksiat dan Gangsterism) JSJ Bukit Aman jam 12.45 tengah malam, Khamis lalu.

"Dalam serbuan itu, kami menahan 99 individu membabitkan 82 wanita warga Thailand, dua wanita Laos serta seorang wanita Vietnam berusia antara 19 hingga 51 tahun bekerja sebagai GRO.

"Kami turut menahan enam lelaki warga Thailand yang juga pondan berperanan sebagai GRO dalam serbuan berkenaan.

"Selain itu, kami menahan tiga lelaki tempatan yang bekerja sebagai pengurus, pembantu pengurus serta juruwang dan lima lelaki warga Bangladesh berperanan sebagai pelayan berusia antara 21 hingga 45 tahun," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Penolong Pengarah D7 (Pencegahan Judi, Maksiat dan Gangsterism) JSJ Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak dan Ketua Penolong Pengarah D3 (Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) JSJ Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Fadil Marsus.

Rusdi berkata, pihaknya turut melakukan pemeriksaan terhadap 69 pelanggan membabitkan 48 lelaki tempatan, lapan lelaki warga Singapura, lima lelaki warga Thailand, dua lelaki warga China, dan dua wanita tempatan serta dua wanita Singapura.

"Pusat hiburan ini terletak di kawasan rumah tingkat empat tingkat yang beroperasi bermula 8 malam hingga 4 pagi setiap hari.

"Premis ini menjalankan perniagaan berkonsepkan pusat hiburan, kugiran serta kalungan bunga. Terdapat dua bilik karaoke di bahagian atas yang dikenakan bayaran sebanyak RM3,000 bagi setiap bilik.

"Malah, pusat hiburan itu turut menyediakan perkhidmatan GRO dengan bayaran bagi satu setiap kalungan bunga bermula pada harga RM100 hingga RM30,000," katanya.

Beliau berkata, semakan dilakukan mendapati semua GRO berkenaan tidak mempunyai sebarang permit kerja yang sah.

"Fokus operasi ini adalah bagi membendung kegiatan aktiviti haram seperti menggajikan wanita warga asing yang bekerja sebagai GRO.

"Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 6(1)(C) akta sama, Peraturan 39B Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 6(2) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Negeri Johor (ENJ) 4/98," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Oktober 2023 @ 1:56 PM