Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan/Perundangan) Polis Diraja Malaysia, Datuk Rusdi Mohd Isa pada sidang media OP Pintas (Pusat Hiburan) di Komplejs Wilayah, Kuala Lumpur. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan/Perundangan) Polis Diraja Malaysia, Datuk Rusdi Mohd Isa pada sidang media OP Pintas (Pusat Hiburan) di Komplejs Wilayah, Kuala Lumpur. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Kegiatan sebuah pusat hiburan di Taman Perindustrian Puchong Utama, Serdang, Selangor yang menawarkan khidmat wanita pelayan pelanggan (GRO) warga asing terbongkar dalam serbuan, kelmarin.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman (Siasatan dan Perundangan) Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, serbuan itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian D7 (Pencegahan Judi, Maksiat dan Gangsterism) JSJ Bukit Aman jam 11.45 malam, Sabtu lalu.

"Hasil pemeriksaan dilakukan, kami menahan 98 individu membabitkan 63 wanita warga Thailand, enam wanita Vietnam, seorang wanita Laos berusia antara 19 hingga 44 tahun yang bekerja sebagai GRO.

"Kami turut menahan empat lelaki tempatan iaitu pengurus, penjaga kaunter dan penjual kalung bunga berusia antara 27 hingga 41 tahun selain tiga lelaki Thailand yang bekerja di premis berkenaan.

"Selain itu kami turut menahan dua lelaki tempatan yang bekerja sebagai 'bouncer' (pengawal premis) yang disyaki terbabit dengan elemen pertubuhan kongsi gelap," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Penolong Pengarah D7 (Pencegahan Judi, Maksiat dan Gangsterism) JSJ Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak dan Ketua Penolong Pengarah D3 (Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) JSJ Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Fadil Marsus.

Rusdi berkata, pihaknya turut memeriksa 71 pelanggan membabitkan 63 lelaki serta dua wanita tempatan dan dua lelaki warga Singapura.

Katanya, pusat hiburan itu berkonsepkan pub terbuka serta bilik karaoke dengan pakej bilik karaoke kecil, sederhana dan besar bermula RM800 hingga RM2,000.

"Bagi pakej GRO pula, sebanyak RM100 dikenakan untuk setiap jam seorang yang dibayar terus kepada individu dikenali sebagai 'Mummy'.

"Pakej bir pula adalah RM150 untuk setiap 'bucket', manakala kalung bunga pula bermula dari RM50 hingga RM500 dibayar kepada dua lelaki tempatan yang menjualnya dari meja ke meja di dalam pub.

"Terdapat bayaran tips terus kepada GRO oleh pelanggan sekiranya mereka berpuas hati dengan layanan diterima," katanya.

Beliau berkata, hasil ujian saringan awal air kencing dilakukan terhadap 18 individu di dalam bilik karaoke mendapati 15 daripada mereka termasuk tujuh wanita positif dadah jenis ketamin.

"Fokus operasi ini adalah bagi membendung kegiatan aktiviti haram seperti menggajikan wanita warga asing yang bekerja sebagai GRO.

"Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15(1)(C) akta sama, Seksyen 6(1)(C) akta sama, Peraturan 39B Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Seksyen 15(1)(C) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Negeri Selangor (EHTTH) 1995," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Oktober 2023 @ 1:27 PM