TERTUDUH, Mohd Fakhruddin Fouzi,31, dijatuhi hukuman penjara lapan bulan di Mahkamah Majistret  atas tuduhan menumbuk bapanya sehingga bengkak dagu. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
TERTUDUH, Mohd Fakhruddin Fouzi,31, dijatuhi hukuman penjara lapan bulan di Mahkamah Majistret atas tuduhan menumbuk bapanya sehingga bengkak dagu. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
Zatul Iffah Zolkiply


NELAYAN dijatuhi hukuman penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini atas dakwaan menumbuk bapanya sehingga bengkak dagu.

Majistret Nordiana Abd Aziz membuat keputusan itu selepas tertuduh, Mohd Fakhruddin Fouzi, 31, mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan (KK) yang dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyebabkan kecederaan terhadap bapanya, Fouzi Ismail, 57, di sebuah rumah di Kampung Losong pada 2.30 pagi, 27 Februari lalu.

Bagi kesalahan mengikut Seksyen 323 KK itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 326A KK turut berdepan hukuman penjara dua kali ganda tempoh maksimum yang dikenakan atas sabitan bagi kesalahan itu, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lee Ka Full manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes, mangsa membuat laporan polis pada 3.49 pagi, 27 Februari lalu selepas ditumbuk tertuduh.

Tertuduh sebelum itu bergaduh dan memukul adik lelakinya dan mangsa yang melihat kejadian itu cuba meleraikan pergaduhan antara dua anaknya.

Bagaimanapun, mangsa ditumbuk tertuduh menyebabkan dia mengalami sakit di bahagian dagu sebelum menyuruh seorang lagi anaknya (adik tertuduh) menghubungi polis.

Tertuduh yang juga penagih dadah melarikan diri sebelum ketibaan polis dan ditahan polis di rumah pada 12.15 tengah hari, 8 Mac lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mac 2020 @ 2:36 PM