PELAJAR yatim piatu, Mohamad Faris Faisal Che Azmi, 15, menziarahi pusara kedua arwah ibu bapanya. FOTO Ramli Ibrahim
PELAJAR yatim piatu, Mohamad Faris Faisal Che Azmi, 15, menziarahi pusara kedua arwah ibu bapanya. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim

PELAJAR yatim piatu bergegas ke kubur ibu bapanya selepas mendapat keputusan cemerlang Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), hari ini.

Mohamad Faris Faisal Che Azmi, 15, ke kubur ibu bapanya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lembaga, Gua Musang, untuk menghadiah bacaan surah Yasin diatas didikan mereka selama ini sehingga berjaya mendapat keputusan 8A 1B.

Dia juga rasa sedih kerana tidak dapat berkongsi kegembiraan bersama ibu bapa kerana mereka pergi meninggalkannya terlebih dahulu selepas terbabit dalam kemalangan Ogos lalu.

“Walaupun dua bulan tidak dapat hadir ke sekolah kerana patah kaki kiri selepas saya bersama dua adik terbabit kemalangan bersama kedua-dua ibu bapa, namun saya bersemangat menduduki PT3 di Sekolah Menengah Sains Gua Musang.

“Saya bersyukur kerana memperoleh keputusan cemerlang dalam PT3 dan ini adalah hadiah kepada kedua-dua arwah ibu bapa,” katanya.

Dia mengambil masa satu jam berada di pusara ibu bapanya dengan ditemani ibu saudara.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, dalam kemalangan jam 4.50 pagi 16 Ogos lalu, Che Azmi Che Hamzah, 48, Nor Hayati Mohamed, 43, antara tiga yang maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan kejadian di Kilometer 15 Jalan Gua Musang-Kuala Lipis.

Berikutan kejadian itu Mohamad Faris Faisal bersama empat beradiknya yang lain menjadi yatim piatu.

Menurut Mohamad Faris Faisal, dia terhutang budi kepada guru sekolah yang mengambil dan menghantarnya pulang ketika menduduki PT3.

“Ketika itu saya masih menggunakan kerusi roda kerana kecederaan belum pulih sepenuhnya lagi dan mendapat ihsan guru mengambil setiap hari,” katanya.

Katanya, mereka lima beradik masih tinggal di rumah ibu saudaranya di Kampung Rahmat.

Berita berkaitan

Suami isteri antara tiga maut

Ajal selepas ziarah jenazah saudara

Pasangan suami isteri dikebumi bersama

'Adik nak jumpa mama'

Janji abang...

'Damia rindu mereka'

Nur Damia keluar wad

Pilu hati Nur Damia

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Disember 2019 @ 6:30 PM