Izlaily Nurul Ain Hussein

POLIS Johor percaya dapat meningkatkan kualiti perkhidmatan apabila menerima 15 kenderaan Mitsubishi Outlander 2.4 (AT) yang baharu bagi kegunaan anggota Unit Polis Peronda Lebuhraya (HMPV).

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, dengan kenderaan baharu itu, ia membolehkan 15 kenderaan peronda lama diganti.

“Ada pelbagai kenderaan lama berusia 10, 15 dan 20 tahun, kita ganti dengan baharu.

“Antara yang diganti seperti Mitsubishi Pajero, Nissan X-trail, Proton Perdana dan Proton Waja.

“Kenderaan baharu ini kita beri pada Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) untuk digunakan polis trafik di setiap daerah bagi tujuan penguatkuasaan.

“Dengan adanya kenderaan baharu ini, kita akan berikan perkhidmatan yang lebih baik kepada masyarakat,” katanya ditemui selepas menyempurnakan majlis penyerahan kenderaan baharu itu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor hari ini.

Pegawai dan anggota polis bergambar dengan kenderaan HMPV pada majlis penyerahan kenderaan itu hari ini. FOTO Zain Ahmed
Pegawai dan anggota polis bergambar dengan kenderaan HMPV pada majlis penyerahan kenderaan itu hari ini. FOTO Zain Ahmed

Pada masa sama, Mohd Kamarudin berkata, polis Johor akan menerima aset baharu lain dari masa ke semasa.

Bagi 15 kenderaan HMPV yang baharu itu, ia dilengkapi peralatan dan aksesori tambahan seperti sistem lampu dan bunyi bersepadu, ‘dashcam’, pelekat polis, cermin gelap, alat pemadam api, kit pertolongan cemas dan ‘sunroof’.

Harga sebuah kenderaan itu adalah RM139,029.35 dan jumlah keseluruhan lebih RM2.08 juta diperuntukkan kerajaan pusat.

Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik di 13 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di negeri itu masing-masing menerima sebuah kenderaan baharu itu manakala dua lagi digunakan JSPT IPK Johor.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Disember 2019 @ 12:48 PM