GAMBAR Hiasan.
GAMBAR Hiasan.
Norizuan Shamsuddin


TINDAKAN seorang lelaki memandu kereta mewah menggunakan cukai jalan palsu membawa padah apabila ditahan polis di Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban, berdekatan Plaza Tol Nilai, semalam.

Suspek berusia 30-an terbabit antara tiga individu ditahan menerusi operasi dilaksanakan Unit Risikan/Operasi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman dengan kerjasama pasukan peronda Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban, bermula 9 pagi.

Sumber JSPT Bukit Aman berkata, suspek ditahan selepas kereta BMW dipandunya didapati mencurigakan.

“Pemeriksaan mendapati cukai jalan dipamerkan pada cermin kenderaan terbabit didapati masih sah.

“Bagaimanapun, semakan dilakukan anggota menerusi alat peranti peralatan sistem pembayaran kompaun dalam talian mudah alih (MCOPS) mendapati cukai jalan kenderaan terbabit sudah tamat tempoh sejak 2013.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati cukai jalan dipamerkan itu adalah palsu dan suspek ditahan untuk tindakan lanjut,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Menurutnya, menerusi operasi sama pihaknya turut menahan dua lagi lelaki tempatan selepas didapati positif ganja.

Katanya, dua suspek terbabit ditahan sewaktu menaiki kereta Proton Gen2.

“Sewaktu pemeriksaan pemandu dan penumpang kenderaan disyaki berada dalam keadaan khayal.

“Susulan itu, dua lelaki terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai, Negeri Sembilan untuk menjalani ujian saringan air kencing dan hasil saringan awal mendapati mereka positif ganja,” katanya.

PENGARAH JSPT Bukit Aman, Datuk Azisman Alias.
PENGARAH JSPT Bukit Aman, Datuk Azisman Alias.

Sementara itu, Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Azisman Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan tiga individu terbabit.

“Pemandu kereta mewah terbabit ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 108(3)(e) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil 1955.

“Manakala dua lelaki didapati positif dadah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mac 2019 @ 7:54 PM