AYOB Khan (kiri) mendengar penjelasan pegawai mengenai pengoperasian iCOPS dalam Ops Sepadu Kenderaan Perdagangan di Plaza Tol Skudai, Johor, hari ini. FOTO Nur Aisyah Mazalan
AYOB Khan (kiri) mendengar penjelasan pegawai mengenai pengoperasian iCOPS dalam Ops Sepadu Kenderaan Perdagangan di Plaza Tol Skudai, Johor, hari ini. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Polis Johor kini menggunakan kamera pintar iCOPS bagi mengesan pesalah trafik yang mempunyai tunggakan kompaun serta waran tangkap di negeri itu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, sebanyak empat kamera iCOPS dibekalkan kepada Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) sejak awal tahun ini.

"Polis Johor dibekalkan empat kamera pintar iCOPS yang kini digunakan di tiga daerah iaitu Kota Tinggi, Johor Bahru Selatan (JBS) dan Iskandar Puteri selain unit peronda Trafik di lebuh raya negeri ini.

"Penggunaan alat ini dapat mengesan kenderaan yang mempunyai saman tertunggak, waran tangkap, nombor pendaftaran palsu dan rekod jenayah curi.

"Data kenderaan akan diperoleh melalui saringan nombor pendaftaran menerusi iCOPS yang kemudian dihubungkan dengan pangkalan data iCOPS JSPT," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau Operasi Sepadu Kenderaan Perdagangan di Plaza Tol Skudai arah Selatan di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, Dr Mohd Famey Yusoff.

Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, Operasi Sepadu Kenderaan Perdagangan terbabit dilakukan selepas pihaknya menerima aduan orang awam berhubung isu kenderaan perdagangan yang masih ingkar dalam pematuhan undang-undang jalan raya.

"Sebanyak 150 operasi ke atas kenderaan perdagangan jalankan secara menyeluruh membabitkan kontinjen Johor bagi tempoh Januari hingga September.

"Hasil daripada operasi yang telah dijalankan itu, sebanyak 208 buah kenderaan perdagangan telah di sita dan 341 saman POL 257 dikeluarkan dengan sebanyak 208 kes di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat ( APAD) 2010.

"Operasi bersepadu kenderaan perdagangan akan diteruskan dengan konsep penguatkuasaan penuh oleh JSPT bagi memastikan semua pemandu mematuhi peraturan yang ditetapkan," katanya.

Pada operasi yang disertai kira-kira 51 pegawai dan anggota dari Unit Peronda Lebuhraya Bahagian Trafik Bukit Aman, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor,JAS Johor dan Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) itu, Ayob Khan berkata, sebanyak 93 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas.

"Tujuan operasi dijalankan berikutan kita banyak maklumat daripada orang awam berhubung kesalahan lalu lintas yang sering dilakukan kenderaan perdagangan.

"Antara kesalahan yang sering dilakukan kenderaan perdagangan termasuklah memandu melebihi had laju, memandu secara berbahaya,brek tidak berfungsi, tayar botak dan juga membawa muatan berbahaya, lampu isyarat tidak berfungsi selain halangan di lorong kecemasan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Oktober 2021 @ 2:23 PM