MEK Som dan keluarga tinggal di bangsal uzur di Cabang Tiga Jalan Aring, Gua Musang. FOTO Ramli Ibrahim
MEK Som dan keluarga tinggal di bangsal uzur di Cabang Tiga Jalan Aring, Gua Musang. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim

BANGSAL reput menunggu masa menyembah bumi menjadi tempat berteduh buat empat beranak yang dihimpit kemiskinan di Cabang Tiga Jalan Aring dekat Gua Musang sejak 22 tahun lalu.

Lebih menyedihkan, sebahagian besar atap bangsal berkenaan juga bocor menyebabkan empat beranak terbabit terpaksa tidur dalam keadaan basah jika hujan.

Mek Som Kadir, 56, berkata mereka terpaksa tinggal di bangsal itu kerana tidak mampu membina rumah baharu disebabkan hanya berniaga pisang goreng dengan pendapatan RM500 sebulan.

Katanya, suaminya, Kamaruzaman Mat Jenal, 60, tidak mampu melakukan sebarang kerja kerana mengidap penyakit tibi, kencing manis dan kanser paru-paru.

"Sambil menjual pisang goreng, pada masa sama saya perlu menjaga suami yang sakit.

"Pendapatan diperoleh digunakan untuk membeli ubat suami dan belanja sekolah dua anak perempuan berusia 16 dan 17 tahun.

"Kadang kala terputus juga perbelanjaan untuk membeli barang keperluan, tetapi terpaksa mencatu dengan makan nasi sekali sehari," katanya ketika ditemui di bangsal usang itu, hari ini.

Menurutnya, mereka juga sudah biasa mencatu makan sejak dahulu lagi dan tidak sanggup untuk meminta-minta.

Katanya, suaminya yang mengidap tiga penyakit kronik juga tidak mendapat sebarang bantuan daripada mana-mana pihak.

Orang ramai yang bersimpati dengan keluarga ini dan ingin menghulur sumbangan boleh menghubungi Mek Som di talian 017-8021656.

Sementara itu, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Gua Musang, Hizani Ibrahim ketika dihubungi berkata, pihaknya belum menerima permohonan daripada pesakit warga emas terbabit.

"Leaki terbabit boleh datang ke pejabat JKM daerah bagi membuat permohonan itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Ogos 2020 @ 8:07 PM