MEK JAH bergambar bersama tiga daripada empat orang cucu yang dijaganya sejak kecil. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
MEK JAH bergambar bersama tiga daripada empat orang cucu yang dijaganya sejak kecil. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Siti Rohana Idris


SEJAK kecil lagi, empat beradik dari Kampung Teluk Renjuna Tenaik, di Tumpat dijaga oleh neneknya, Mek Jah Mamat.

Mek Jah, 63, menguruskan segala keperluan empat beradik itu, Mohamad Amri Mohd Amran, 14, Nor Aleya Maisara, 15, Nor Aleyana Maisara, 12 dan Muhammad Azam Adrie, 10, baik dari segi keperluan harian serta perbelanjaan sekolah.

Ia dengan bantuan bulanan yang diterimanya dari Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) sebanyak RM400 sebulan.

Ibu bapa empat beradik itu jarang menetap di rumah mereka, berikutan mempunyai masalah peribadi dan kepada warga emas itu, empat beradik berkenaan menumpang kasih.

Mek Jah berkata, semua cucunya menetap di asrama sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kedai Buloh, Kota Bharu serta Sekolah Kebangsaan Pulau Beluru, di Tumpat dan akan pulang ke rumah seminggu sekali.

“Sepanjang Ramadan ini, mereka amat ternanti-nanti hujung minggu untuk pulang ke rumah kerana dapat menjamu selera hasil air tangan saya.

“Saya akan cuba menyediakan juadah istimewa untuk berbuka puasa serta bersahur yang mereka inginkan sekadar termampu dan lauk yang mereka gemar adalah ayam percik,” katanya ketika ditemui di rumahnya.

Mek Jah yang sudah kematian suami berkata, kepada empat cucunya dia bergantung harap untuk menjaganya suatu hari nanti kerana seorang lagi anak lelakinya, selain bapa empat cucunya itu mempunyai keluarga dan bukan orang senang.

Menurutnya, jika diikutkan bantuan bulanan yang diterimanya dari MAIK memang tidak mencukupi untuk menyara mereka lima beranak tapi nasib empat cucunya agak baik kerana diambil sebagai anak prihatin oleh seorang aktivis masyarakat iaitu Faizah Qemerzaman.

Anak prihatin yang terdiri daripada anak yatim, terabai dan golongan asnaf di kawasan Tumpat dipantau oleh Faizah dan diberi bantuan selayaknya yang diperlukan terutama dari segi pembelajaran.

Lima beranak itu turut menerima kunjungan seorang ahli perniagaan, Datuk Seri Sunny Ung yang meluangkan masa beramah mesra bersama mereka sempena bulan Ramadan.

Sunny berkata, empat cucu Mek Jah akan diambil sebagai anak angkat dan ditanggung segala keperluan persekolahan mereka sehingga tamat Tingkatan Lima.

“Bagi keperluan Aidilfitri ini, saya akan menyumbangkan keperluan yang diperlukan dan menyediakan baju raya untuk mereka.

“Dari segi tempat tinggal pula, saya akan membaik pulih segala kekurangan yang diperlukan untuk rumah mereka ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2019 @ 10:27 AM