Siti Rohana Idris


Tumpat: Pada ketika usia semakin meningkat, kudrat tuanya masih gagah menjadi ketua keluarga menjaga cucu dibela sejak bayi serta menguruskan seorang anak terlantar akibat penyakit saraf.

Mek Som Latif, 76, tidak pernah merungut, sebaliknya memikul tanggungjawab menjaga Muhammad Akrami Zhuhairiey Mohamad Borhan, 11, yang ditinggalkan ibu kandungnya sejak berusia 18 bulan dan kanak-kanak itu kini sudah setahun mengalami masalah buah pinggang bocor dan penyakit darah tinggi.

Malah, dia cekal menguruskan anaknya, Mohamad Rizal Awang, 48, yang hampir dua tahun terlantar akibat penyakit saraf yang menyebabkan dia tidak dapat berjalan dan seakan-akan lumpuh daripada paras pinggang ke bawah.

Mek Som berkata, dia tidak pernah mengeluh akan takdir menimpa mereka kerana percaya ada hikmah di sebaliknya, malah dia bersyukur kerana di usia sebegitu, masih diberi kesihatan baik untuk menggalas tanggungjawab itu.

"Sejak berusia 18 bulan, Akrami ditinggalkan ibu kandungnya sebaik ibu bapanya bercerai dan setahun lalu, anak saya iaitu bapa Akrami, (Mohamad Borhan Awang, 38) meninggal dunia akibat serangan jantung.

Mek Som membantu anaknya, Mohamad Rizal yang hampir dua tahun terlantar akibat penyakit saraf. FOTO SITI ROHANA IDRIS
Mek Som membantu anaknya, Mohamad Rizal yang hampir dua tahun terlantar akibat penyakit saraf. FOTO SITI ROHANA IDRIS

"Sejak itu, sayalah yang menjaga Akrami dan keadaan semakin sukar apabila dia menghidap penyakit darah tinggi dan buah pinggang bocor sejak awal tahun lalu yang menyebabkan dia beberapa kali dimasukkan ke wad serta bergantung kepada ubat," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Atas Banggol, di sini, hari ini.

Terdahulu mereka menerima kunjungan rombongan dari Balai Polis Wakaf Bharu yang diketuai ketua balainya, Sarjan Mejar Abd Halim Shafai bersama wakil Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) sempena Program Ziarah Prihatin yang tampil menghulurkan bantuan barang dapur serta sumbangan kewangan untuk kegunaan Mek Som sekeluarga.

Mereka turut mengunjungi dua pesara polis yang uzur serta dua anggota sakit, tetapi masih berkhidmat di kediaman mereka di sekitar Wakaf Bharu.

 Abd Halim Shafai menziarah Mek Som ketika ditemui di rumahnya di Kampung Atas Banggol, di sini, hari ini. FOTO SITI ROHANA IDRIS
Abd Halim Shafai menziarah Mek Som ketika ditemui di rumahnya di Kampung Atas Banggol, di sini, hari ini. FOTO SITI ROHANA IDRIS

Mek Som yang kematian suami sejak lima tahun lalu berkata, mereka tiga beranak bergantung kepada bantuan bulanan RM350 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang diterimanya serta Mohamad Rizal.

Menurutnya, selain untuk makan minum, bantuan bulanan itu digunakan untuk membeli ubat Mohamad Rizal serta perbelanjaan sekolah dan pembiayaan rawatan cucunya jika perlu ke hospital untuk menerima rawatan lanjut.

"Biasanya untuk berulang alik ke hospital sama ada bagi mendapatkan bekalan ubat Akrami atau rawatan susulannya, kami akan menaiki kereta sewa dengan bayaran sekitar RM50 pergi balik.

"Tetapi sekarang ada seorang doktor tolong bayarkan dan menyediakan perkhidmatan Grab untuk kami..Alhamdulillah," katanya.

Sementara itu, Mohamad Rizal berkata, dia kerap kali mengalirkan air mata mengenangkan nasib diri yang sebelum ini menjadi tulang belakang mencari rezeki menyara keluarga, tetapi kini terlantar bergantung kepada ibu yang sudah uzur.

"Sebelum ini saya bekerja di kilang papan lapis di Tanah Merah dan mendapat kemalangan ketika bekerja apabila terjatuh dan selepas itu kaki kanan menjadi kebas sebelum lama-kelamaan berjangkit ke kedua-dua belah kaki dan akhirnya langsung tidak boleh berjalan seperti sekarang.

"Saya sedaya upaya tidak ingin membebankan Mek dan jika ingin mandi atau menggunakan tandas, saya mengengsot ke dapur.

"Walaupun sesekali terasa sakit kerana perlu naik turun tangga, tapi selagi boleh bergerak saya tidak mahu menyusahkan Mek," katanya yang tidak berkahwin.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian di akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) milik Mek Som iaitu 03018-41-00012469-3 atau menghubunginya di talian 0145470128.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Februari 2021 @ 6:14 PM