Yusmizal Dolah Aling


KESEMPATAN ‘meronda’ di dalam kem Hakim Para di Tengkhali, dekat Cox’s Bazar selama kira-kira satu jam, hari ini membolehkan sukarelawan Muslim Care Malaysia (Muslim Care) mendapat gambaran lebih jelas mengenai masalah dan situasi kehidupan pelarian Rohingya itu.

Presiden Muslim Care, Zulkifli Wahijan berkata, mereka amat memerlukan aktiviti boleh menjana ekonomi bagi menampung kehidupan.

Zulkifli dan tujuh sukarelawan Muslim Care yang juga jururawat kebidanan dari Hospital Pakar Wanita dan Kanak-Kanak Avisena (ACWSH) termasuk seorang doktor pakar, berada di kem Hakim Para untuk mengadakan kursus pengendalian bayi selama empat hari bermula Isnin lalu.

Beliau berkata, selepas melihat kedaifan penghuni kem Hakim Para yang didiami hampir 40,000 pelarian Rohingya, antara idea awal dikenal pasti ialah membekalkan mesin jahit kepada mereka.

Bagaimanapun, katanya, untuk melaksanakan cadangan itu pihaknya perlu merangka satu program teratur dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan selaku pemantau selia.

ZULKIFLI (kanan) berbual dengan pelarian Rohingya untuk mendapat gambaran sebenar masalah mereka di kem Hakim Para. FOTO ihsan Muslim Care.
ZULKIFLI (kanan) berbual dengan pelarian Rohingya untuk mendapat gambaran sebenar masalah mereka di kem Hakim Para. FOTO ihsan Muslim Care.

“Selepas mendengar sendiri maklum balas daripada penghuni kem dan berbincang dengan wakil NGO tempatan, kami berasakan projek membekalkan mesin jahit praktikal untuk dijalankan di sini.

“Ini kerana ramai pelarian wanita dan lelaki di kem itu ada kemahiran menjahit. Jadi, mereka boleh jadikan itu kegiatan sebagai kerjaya dan menyumbang pendapatan.

“Namun, perancangan ini perlu turut membabitkan penyediaan pasaran. Kalau tanpa pasaran atau pelanggan, dibimbangi mereka akan menjual mesin jahit diberikan untuk mendapatkan wang dengan cara mudah,” katanya.

Selain itu, Zulkifli berkata, dalam kunjungan kali ini yang juga kali ketujuh buat Muslim Care sejak 2016, pihaknya membekalkan 100 telekung dan sejadah untuk kegunaan pelarian di kem itu.

KEADAAN daif sebuah pusat tahfiz yang menampatkan 35 pelajar di kem Hakim Para. FOTO ihsan Muslim Care.
KEADAAN daif sebuah pusat tahfiz yang menampatkan 35 pelajar di kem Hakim Para. FOTO ihsan Muslim Care.

Beliau berkata, hatinya amat tersentuh apabila melihat sebuah surau mampu memuatkan kira-kira 100 jemaah hanya berlantaikan simen tanpa ada sehelai tikar mahupun sejadah.

“Kami memberikan sedikit bantuan kewangan kepada sebuah pusat tahfiz terletak bersebelahan madrasah itu kerana kasihan melihat keadaan premisnya yang serba kekurangan untuk memberikan pendidikan kepada 35 pelajar berusia 10 hingga 15 tahun.

“Kami mengalu-alukan sumbangan rakyat Malaysia untuk pelbagai aktiviti kemanusiaan Muslim Care di dalam dan luar negara.

“Sumbangan boleh disalurkan menerusi nombor akaun 564490413882 (Maybank), 14014010147470 (Bank Islam) atau 14010007654717 (Bank Muamalat),” katanya.

Berita berkaitan

'Bidan etnik Rohingya dapat ilmu baru [METROTV]'

'Misi selamatkan bayi Rohingya'

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Disember 2019 @ 8:45 PM