Yusmizal Dolah Aling


SERAMAI 25 bidan kampung etnik Rohingya menghuni kem Hakim Para, Tengkhali dekat Cox's Bazar, Bangladesh mendapat pengalaman berharga menerusi kursus Pengendalian Kelahiran Bayi anjuran Muslim Care Malaysia (Muslim Care), semalam.

Kursus selama empat hari itu dikendalikan enam sukarelawan Muslim Care yang juga jururawat kebidanan dari Hospital Pakar Wanita dan Kanak-kanak Avisena (ACWSH) diketuai pakar obstetrik dan ginekologi, Dr Fairuz A’shikin Abdul Kadir.

Dr Fairuz A’shikin berkata, sepanjang kursus itu, peserta didedahkan mengenai aspek penjagaan kebersihan, cara bersalin dengan selamat, cara mengelakkan komplikasi, selain mengenal pasti komplikasi semasa dan selepas proses kelahiran.

“Mereka turut diajar kaedah mengurangkan kesakitan secara semula jadi dan cara mengatasi komplikasi pendarahan ketika bersalin.

“Ini kerana sebab utama kematian ialah jangkitan kuman dan pendarahan,” katanya.

ZULKIFLI (tengah) bersama sukarelawan Muslim Care dan bidan dalam kalangan pelarian Rohingya di Kem Hakim Para, Tengkhali dekat Cox's Bazar, Bangladesh. FOTO ihsan Muslim Care.
ZULKIFLI (tengah) bersama sukarelawan Muslim Care dan bidan dalam kalangan pelarian Rohingya di Kem Hakim Para, Tengkhali dekat Cox's Bazar, Bangladesh. FOTO ihsan Muslim Care.

Bagi peserta, biarpun ada di antara mereka sudah berpengalaman sebagai bidan selama lebih 30 tahun, namun buat pertama kali mereka didedahkan dengan teknik perubatan moden lebih sistematik dan selamat.

Peserta, Anwera Begum, 35, yang berpengalaman lapan tahun sebagai bidan menyifatkan kursus itu amat bermanfaat dan berterima kasih kepada Muslim Care kerana menganjurkannya.

“Kini saya tahu bagaimana nak basuh tangan dengan betul, kuku kami perlu bersih untuk menyambut kelahiran bayi.

“Sebaik-baiknya kami digalakkan menggunakan sarung tangan bagi mengelakkan jangkitan kuman,” katanya.

Seorang lagi peserta Suratun Nisa, 40, berkata antara ilmu baru dipelajarinya ialah menghentikan pendarahan selepas proses kelahiran.

“Caranya ialah dengan segera menyerahkan bayi baru dilahirkan kepada ibunya untuk disusukan. Apabila ibu memberi susuan, saya diberitahu pendarahan akan berhenti secara semula jadi.

“Ini perkara baru saya pelajari dan ia amat menarik,” katanya yang berpengalaman selama 28 sebagai bidan sejak di kampungnya di Arakan, Myanmar.

SUKARELAWAN Muslim Care (kanan) memberi latihan kepada bidan dalam kalangan pelarian Rohingya di Kem Hakim Para, Tengkhali dekat Cox's Bazar, Bangladesh. FOTO ihsan Muslim Care.
SUKARELAWAN Muslim Care (kanan) memberi latihan kepada bidan dalam kalangan pelarian Rohingya di Kem Hakim Para, Tengkhali dekat Cox's Bazar, Bangladesh. FOTO ihsan Muslim Care.

Sementara itu, Presiden Muslim Care, Zulkifli Wahijan berkata pihaknya terpanggil untuk menganjurkan kursus berkenaan selepas diberitahu kadar kematian ketika melahirkan bayi di dalam kem pelarian Rohingya di Coxbazar amat tinggi iaitu pada nisbah satu kematian untuk setiap lima kelahiran.

“Kursus ini pertama kali kami adakan. Sebelum ini Muslim Care terbabit dalam pembinaan sekolah dan penyediaan telaga tiub untuk pelarian Rohingya di dalam kem pelarian.

“Sehubungan itu, kami mengalu-alukan sumbangan rakyat Malaysia untuk pelbagai antivirus kemanusiaan Muslim Care di dalam dan luar negara,” katanya.

Sumbangan boleh disalurkan menerusi nombor akaun 564490413882 (Maybank), 14014010147470 (Bank Islam) atau 14010007654717 (Bank Muamalat).

Berita berkaitan

'Misi selamatkan bayi Rohingya'

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Disember 2019 @ 8:34 PM