Dua lelaki menunggang dan membonceng motosikal yang disyaki meragut wanita warga emas di kawasan parkir Pangsapuri Selasih Indah, Taman Selasih, Fasa 1 di Kuala Lumpur semalam.
Dua lelaki menunggang dan membonceng motosikal yang disyaki meragut wanita warga emas di kawasan parkir Pangsapuri Selasih Indah, Taman Selasih, Fasa 1 di Kuala Lumpur semalam.
Muhaamad Hafis Nawawi


WANITA warga emas kerugian RM5,000 selepas gelang tangannya diragut dua lelaki di kawasan parkir di hadapan Pangsapuri Selasih Indah, Taman Selasih, Fasa 1 di Kuala Lumpur semalam.

Dalam kejadian jam 12.50 tengah hari itu, mangsa berusia 65 tahun itu baru selesai membeli ikan dari peniaga lori ikan sebelum tiba-tiba sebuah motosikal dinaiki dua lelaki menghampirinya.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, pembonceng motosikal terbabit kemudiannya terus menuju ke arah mangsa dan mengacu pisau ke lehernya sebelum meragut gelang emas yang dipakai di tangan kirinya.

Menurutnya, polis sedang mengesan suspek dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak 03-6126 2222.

“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 November 2019 @ 4:37 PM