BAYI perempuan yang ditemui dibungkus dengan kain batik di depan sebuah rumah. FOTO ihsan polis
BAYI perempuan yang ditemui dibungkus dengan kain batik di depan sebuah rumah. FOTO ihsan polis
Hasbi Sidek


SEORANG remaja terkejut selepas menemui bayi yang masih bertali pusat bersama uri di hadapan rumahnya dekat Taman Desa Kudang, Kundang, Rawang, pagi tadi.

Bayi yang dibungkus dengan kain batik itu ditemui jam 10.45 pagi sebelum dia memaklumkan ibunya yang berada di tempat kerja di Kepong.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, bayi perempuan itu kemudiannya dibawa ke Hospital Selayang untuk pemeriksaan kesihatan.

“Seorang wanita hadir ke Balai Polis Kundang bersama bayi dan membuat laporan bahawa bayi itu ditemui di hadapan rumah oleh anaknya.

“Wanita itu dihubungi anaknya memaklumkan bayi itu diletakkan di hadapan pintu pagar rumah. Dia kemudiannya bergegas pulang ke rumah dan melakukan pemeriksaan terhadap bayi berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, sebaik tiba di rumah jam 12.20, wanita itu ternampak bayi yang dibalut dengan kain batik dan masih bertali pusat bersama uri diletakkan di dalam plastik.

“Dia kemudiannya ke balai polis dan membuat laporan.

“Bayi berkenaan dibawa ke Hospital Selayang untuk pemeriksaan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menyembunyikan kelahiran,” katanya.

Beliau berkata, polis meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung perkara itu untuk tampil membantu polis melalui talian Ibu Pejabat Daerah (IPD) Gombak, 03-6126 2222.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2019 @ 8:20 PM