KHAIRUL Faizi  (tengah) menerangkan Skim Peduli Kesihatan Untuk Kumpulan B40 kepada Maznah yang ditemani suaminya, Mohd Ali di Kampung Bagan Dalam.
KHAIRUL Faizi (tengah) menerangkan Skim Peduli Kesihatan Untuk Kumpulan B40 kepada Maznah yang ditemani suaminya, Mohd Ali di Kampung Bagan Dalam.
Nur Izzati Mohamad dan Shamsul Munir Safini


KEADAAN tulan g belakangnya makin serius dan perlu dibedah segera, tetapi malangnya tidak mampu menyediakan kos pembedahan yang tinggi kerana suami tidak bekerja dan lima anaknya juga ada masalah kewangan.

Maznah Abdullah, 60, menderita masalah tulang belakang selepas beberapa kali terjatuh dalam bilik air menyebabkannya mengalami masalah saraf dan sukar berjalan disebabkan tulang belakang retak, sejak tiga bulan lalu.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut di hospital mendapati keadaan tulang belakangnya berada pada tahap serius dan perlu dibedah segera.

“Doktor memaklumkan kos pembedahan tulang belakang sekitar RM16,780. Ketika itu saya dan suami, Mohd Ali Mustafa, 60, buntu memikirkan mana hendak dicari wang sebanyak itu.

“Saya bersyukur apabila dimaklumkan mengenai Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) dan cuba memohon.

“Alhamdulillah saya mendapat bantuan untuk membiayai pembedahan (alat perubatan) saya sebanyak RM10,500 manakala selebihnya daripada bantuan Zakat Pulau Pinang (ZPP),” katanya ketika ditemui di rumahnya, baru-baru ini.

Maznah selamat menjalani pembedahan pada 19 Jun lalu dan kini perlu berulang-alik membuat pemeriksaan serta rawatan susulan di Hospital Seberang Jaya (HSJ) mengikut tarikh yang ditetapkan.

“Saya bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan yang mewujudkan skim ini. Jika tiada, saya tidak tahu lagi dimana mahu mencari wang bagi menampung kos pembedahan terbabit.

“Saya tidak boleh bergantung harap kepada lima anak berusia 19 hingga 44 tahun kerana mereka juga berdepan masalah kewangan dan hanya mampu menyediakan makanan untuk saya dan suami,” katanya.

Maznah menerima kunjungan ProtectHealth Corporation Sdn. Bhd. (ProtectHealth) selaku syarikat yang mengendalikan skim berkenaan di rumahnya, di Kampung Baru, Bagan Dalam, Butterworth, Pulau Pinang.

Turut hadir, Ketua Komunikasi Strategik PeKa B40, Khairul Faizi Dalaiil.

Infografik PeKa B40.
Infografik PeKa B40.

Khairul Faizi berkata, PeKa B40 satu inisiatif kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bertujuan menampung keperluan kesihatan golongan berpendapatan rendah dengan memberi fokus terhadap penyakit tidak berjangkit (NCD).

Katanya, PeKa B40 ditawarkan kepada rakyat Malaysia yang berada dalam lingkungan pendapatan isi rumah 40 peratus terendah atau B40.

“Penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) dan pasangan mereka yang berumur 50 tahun dan ke atas secara automatik layak menyertai PeKa B40.

“Tiada pendaftaran khusus diperlukan untuk menyertai PeKa B40 dan melaluinya mereka akan menerima empat manfaat seperti saringan kesihatan percuma, bantuan alat perubatan (hingga RM20,000), insentif melengkapkan rawatan kanser (RM1,000) dan insentif tambang pengangkutan (sehingga RM1,000),” katanya.

Turut menerima bantuan PeKa B40 ialah pesakit kanser payu dara, Yeap Phaik Kee, 55, yang pernah putus harapan untuk sembuh ekoran kesempitan hidup.

Dia yang tinggal bersama suami dan tiga orang di Kompleks Pulau Mutiara, Lebuh Macallum, Pulau Pinang terpaksa berhenti kerja apabila disahkan menghidap kanser tahap empat.

Katanya, ketika itu dia putus harapan untuk sembuh kerana tiada wang untuk rawatan.

“Menurut doktor, saya perlu mendapatkan rawatan kimoterapi selain perlu berulang-alik dari rumah ke Hospital Pulau Pinang (HPP).

“Semua anak saya masih belajar dan suami pula bekerja sendiri, tidak mempunyai pendapatan tetap,” katanya ketika ditemui di kediamannya.

Yeap Phaik Kee, 55 yang menghidap kanser payudara tahap 4 membaca manfaat  (PeKa B40) semasa ditemui di Kompleks Pulau Mutiara, Gat Lebuh Maccalum, Pulau Pinang. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal
Yeap Phaik Kee, 55 yang menghidap kanser payudara tahap 4 membaca manfaat (PeKa B40) semasa ditemui di Kompleks Pulau Mutiara, Gat Lebuh Maccalum, Pulau Pinang. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal

Yeap berkata, dia mendapat tahu mengenai PeKa B40 daripada jiran dan cuba mendapatkan maklumat mengenainya dengan bantuan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kota, Daniel Gooi.

“Saya bersyukur apabila dikhabarkan berita gembira layak mendapat bantuan saringan kesihatan, insentif melengkapkan rawatan kanser dan insentif tambang pengangkutan.

“Sejak itu, saya mendapatkan rawatan kimoterapi di HPP dan kini pulih walaupun tidak sihat sepenuhnya,” katanya.

Yeap menerima insentif melengkapkan rawatan kanser dan insentif tambang pengangkutan dengan jumlah keseluruhan RM320. #PeKaB40 #KKM #ProtectHealth

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 November 2019 @ 5:12 PM