Siti Rohana Idris

Kuala Krai: Setiap kali hujan lebat, suami isteri warga emas terpaksa mencari ruang untuk mengelak daripada dibasahi berikutan sebahagian besar bumbung rumah didiami bocor, selain lantai turut berlubang dan reput.

Lebih memilukan apabila Maznah Mat Hussin, 64, bersama suaminya, Mohamed Yaacob Abas, 70, akan 'bertemankan' payung untuk berlindung daripada terkena tempias hujan sejak bertahun lamanya disebabkan kekangan kewangan untuk membaiki rumah.

Maznah berkata, berikutan ruang dalam rumah tidak luas, dia akan tidur di dalam bilik manakala suami yang menderita penyakit saraf dan hanya mampu mengengsot pula di penjuru ruang tamu.

"Keadaan ini yang kami alami setiap kali hujan kerana nak ganti sekeping zink pun tidak mampu apatah lagi untuk membaiki rumah.

"Lubang di lantai pun kami tutup dengan tikar dan karpet nipis untuk mengelakkan dimasuki haiwan berbisa hingga adakalanya hampir terjerlus kerana tidak perasan lantai sudah reput," katanya.

Maznah berkata demikian selepas menerima kunjungan Pengerusi Cempaka Merah Asnaf Society, Che Norhayati Mohamed bagi menyampaikan dapur memasak, barangan makanan dan sumbangan wang zakat di rumahnya di Kampung Chenulang, di sini, hari ini.

MAZNAH menunjukkan payung yang digunakan ketika berlindung dari hujan disebabkan bumbung rumah yang bocor. FOTO Siti Rohana Idris
MAZNAH menunjukkan payung yang digunakan ketika berlindung dari hujan disebabkan bumbung rumah yang bocor. FOTO Siti Rohana Idris

Ibu kepada enam anak itu berkata, seorang individu tidak dikenali bermurah hati apabila memberikan mereka enam keping zink untuk menggantikan zink berlubang sekali gus dapat menampung bumbung yang bocor.

Menurutnya, dua anaknya tinggal bersama mereka tetapi hanya bekerja kampung dengan pendapatan tidak menentu, manakala yang lain menetap berasingan dan sudah berumahtangga.

"Saya ada membuat kuih dan menghantar ke kedai kopi, tapi sudah sebulan tidak berbuat demikian kerana kemalangan disebabkan motosikal terlanggar babi.

"Lebih menyedihkan, sudah dua minggu kami memasak dengan kayu api di luar rumah kerana dapur gas rosak dan kehabisan gas memasak," katanya.

Menurutnya, dia bersyukur kerana suaminya menerima bantuan bulanan RM500 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Katanya, permohonan untuk membaiki rumah atau mendapatkan rumah baharu sudah banyak kali diajukan kepada pihak berwajib, namun sehingga kini tidak berhasil.

Orang ramai yang bersimpati dengan keluarga ini boleh menghulurkan sumbangan dengan menghubungi Maznah di talian 019-8132908.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Oktober 2022 @ 2:07 PM