Gambar hiasan
Gambar hiasan
Murni Wan Omar


WANG berjumlah RM1.98 juta milik Yayasan Tun Hussein Onn dan RM121,205 kepunyaan Rayhar Travels Sdn Bhd yang didakwa mempunyai kaitan dengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dilucut hak dan menjadi milik kerajaan.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh membuat keputusan itu hari ini selepas pihak yayasan itu bersetuju menyerahkan wang itu kepada kerajaan.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam Datuk Hariharan Tara Singh yang mewakili yayasan terbabit selepas kes disebut semula.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Allan Suman Pillai mengesahkan perkara itu.

Beliau berkata, pihaknya akan menarik balik permohonan lucut hak itu selepas SPRM memperoleh wang sebanyak RM1,980,328.37 itu.

Bagi kes membabitkan Rayhar Travels, peguam Mat Yunus Sharif berkata, anak guamnya bersetuju untuk wang itu dilucutkan kepada kerajaan.

Allan turut mengesahkan perkara itu dan memaklumkan akan menarik balik permohonan lucut hak mereka.

SPRM sebelum ini memfailkan permohonan lucut hak terhadap 41 responden untuk mendapatkan semula kira-kira RM270 juta yang mempunyai kaitan dengan 1MDB.

Permohonan lucut hak itu dibuat pendakwaan mengikut Seksyen 56(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 November 2019 @ 5:59 PM