FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Murni Wan Omar


MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur memberi tempoh tujuh hari untuk pihak pendakwaan meminda nama responden bagi permohonan lucut hak terhadap wang berjumlah RM700,000 milik UMNO Bahagian Pekan yang dibekukan.

Ia bagi membolehkan nama responden iaitu UMNO Bahagian Pekan ditukar kepada pemegang jawatan dan bukan kepada pertubuhan itu sendiri.

Terdahulu, Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali dalam keputusannya menolak permohonan UMNO Bahagian Pekan untuk membatalkan notis lucut hak itu mengikut Seksyen 9C Akta Pertubuhan 1956.

Beliau bagaimanapun memerintahkan pihak pendakwaan meminda nama responden dalam permohonan itu.

Mahkamah menetapkan 6 September depan untuk pengurusan kes.

Mengikut Seksyen 9C Akta Pertubuhan 1956, sesuatu pertubuhan boleh mendakwa atau didakwa atas mana-mana daripada anggotanya sebagaimana yang didaftarkan kepada pendaftar.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Allan Suman Pillai manakala UMNO Bahagian Pekan diwakili peguam Datuk M Reza Hassan.

Sebelum ini, Reza membantah notis warta yang difailkan pendakwaan mengikut Seksyen 56(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Menurutnya, pendakwaan menamakan pihak salah dan sepatutnya menamakan pengarah atau individu UMNO Pekan.

SPRM sebelum ini membuat permohonan pelucutan hak terhadap 41 responden untuk memperoleh semula dana kira-kira RM270 juta yang mempunyai kaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Tindakan itu dibuat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) yang suruhanjaya itu percaya wang berkenaan dipindahkan daripada akaun bank bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Ogos 2019 @ 11:32 AM