Murni Wan Omar


MAHKAMAH Tinggi, di sini, semalam, menetapkan 23 Ogos depan untuk mendengar keputusan representasi berhubung lucut hak harta Yayasan Rahah dan Naza Quest yang disita berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hakim Mohd Nazlan Mohd menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Allan Suman Pillai memohon masa untuk pihaknya meneliti representasi yang dihantar oleh kedua-dua pihak terbabit.

Yayasan Rahah yang diwakili peguam Amin Othman manakala Naza Quest diwakili peguam Md Yunos Shariff mengesahkan perkara itu.

Yayasan Tun Rahah mengemukakan representasi bagi menyelesaikan pelucutan hak wang berjumlah RM839,489.82 manakala Naza Quest pula membabitkan wang sebanyak RM269,662 yang didakwa mempunyai kaitan dengan 1MDB.

Yayasan Tun Rahah menghantar representasi pada 7 Julai lalu manakala Naza Quest pada 23 Julai lalu.

Sementara itu, Umno Bahagian Pekan mengemukakan bantahan awal terhadap permohonan pendakwaan yang mahu mewartakan notis kepada pihak ketiga berkepentingan terhadap wang RM700,000 milik mereka.

Semalam sepatutnya adalah sesi untuk mendengar bantahan itu bagaimanapun peguam Datuk M Reza Hassan yang mewakili Umno Bahagian Pekan memohon masa berikutan terdapat kesilapan teknikal berhubung perkara terbabit.

Reza berkata, pihaknya sudah memfailkan permohonan bantahan itu pada Jumaat lalu bagaimanapun ia ditolak berikutan masalah teknikal menyebabkan mereka memfailkannya kembali.

Pihak pendakwaan tidak mengemukakan sebarang bantahan dan mahkamah menetapkan 23 Ogos depan untuk pendengaran bantahan awal itu.

Sementara itu, di Mahkamah Tinggi yang lain, Hakim Datuk Rozana Ali Yusof membenarkan pendakwaan mewartakan notis kepada pihak ketiga yang berkepentingan terhadap wang berjumlah RM2,479,300.18 yang disita daripada Badan Perhubungan UMNO Pahang.

Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Farah Yasmin Salleh memohon tempoh masa daripada mahkamah untuk penyiaran notis itu.

Peguam Mohd Shukri Ahmad Mansor yang mewakili Badan Perhubungan UMNO Pahang tidak mengemukakan sebarang bantahan.

Mahkamah menetapkan 18 Oktober depan untuk sebutan semula kes.

SPRM sebelum ini memfailkan permohonan perlucutan hak sivil terhadap 41 responden untuk memperoleh semula dana kira-kira RM270 juta yang mempunyai kaitan dengan 1MDB.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya berkata, tindakan itu diambil mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) yang mendakwa wang itu dipindahkan daripada akaun bank bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Julai 2019 @ 6:40 AM