FOTO hiasan
FOTO hiasan
Hasbi Sidek


DIAJAK untuk bekerja memotong rumput, namun ditetak hingga parah di kepala, tangan dan tapak tangan.

Itu nasib dialami seorang lelaki warga Pakistan yang ditetak dalam sebuah kebun, dekat Jalan Lenggeng, Kampung Sungai Machang Ulu, Lenggeng, Nilai, kira-kira jam 1.15 tengah hari, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar berkata, mangsa dipercayai ditetak seorang lelaki warga Pakistan yang juga rakan mangsa ketika sedang memotong rumput bersama di kebun berkenaan.

“Balai Polis Lenggeng menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan seorang lelaki warga asing sedang mengamuk dan mencederakan seorang pemotong rumput.

“Polis dan ambulans bergegas ke lokasi. Hasil siasatan mendapati berlaku salah faham antara mereka sebelum suspek bertindak menetak mangsa menggunakan parang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, mangsa mengalami kecederaan luka pada bahagian atas kepala, luka pada lengan kanan dan tapak tangan kiri dengan anggaran luka antara lima sentimeter (sm) hingga ke 15 sm.

“Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban bagi mendapatkan rawatan manakala suspek ditangkap sejurus kejadian bagi membantu siasatan selain parang digunakan untuk menetak mangsa turut dirampas.

“Mangsa adalah pemegang kad UNHCR dan sudah lima tahun menetap di Kajang, Selangor dan bekerja sebagai pemotong rumput dengan pendapatan RM60 sehari.

Mohd Nor berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 November 2019 @ 2:45 PM