MANGSA banjir di Kampung Tanah Puteh. FOTO Ramli Ibrahim
MANGSA banjir di Kampung Tanah Puteh. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim

PUSAT Pemindahan Sementara (PPS) pertama dibuka di Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Etnobotani bagi menempatkan 41 mangsa banjir dari Kampung Tanah Puteh, Gua Musang, malam tadi.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd Taufik Maidin berkata, PPS itu dibuka sejak 11 malam tadi selepas banjir di kampung berkenaan akibat hujan lebat sejak 8 malam.

“PPS itu dibuka bagi memudahkan lapan keluarga mangsa banjir mendapat tempat lebih selamat selepas rumah mereka dinaiki air kira-kira satu meter,” katanya ketika dihubungi di Gua Musang, hari ini.

Banjir kali kedua yang berlaku di kampung terbabit sudah surut sejak 4 pagi tadi, namun rata-rata mangsa banjir tidak mahu pulang kerana bimbang bencana sama akan berulang berikutan cuaca tidak menentu.

Sementara itu, mangsa banjir, Aziz Rajab, 50, berkata, banjir yang melanda di kampungnya adalah kali kedua berlaku selepas pertama kali pada Sabtu lalu.

Katanya, pada kali pertama, mereka tidak berpindah ke PPS, sebaliknya berlindung di surau kampung sama kerana terletak di tempat yang lebih tinggi.

“Kami akan tinggal di PPS ini sehingga ada bantuan rumah kerana saya tidak tahan lagi dengan masalah banjir yang berlaku setiap kali hujan lebat.

“Lumpur daripada banjir pada Sabtu lalu belum lagi selesai dibersihkan sepenuhnya di setiap rumah, ini pula berlaku lagi bencana sama.

“Musim tengkujuh ketika ini sudah tentu banjir akan berlaku berulang kali menyebabkan kami tidak lagi selamat menduduki rumah berkenaan. Tambahan pula, barang khususnya perabut juga sudah habis musnah,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Bagi Nor Asekeen Din, 34, pula, walaupun tanah kediaman mangsa banjir ketika ini bukan milik mereka, namun penduduk memerlukan belas ihsan supaya penempatan baharu disediakan.

“Kami tinggal di kampung itu sudah lebih 10 tahun sebelum diberi notis pindah daripada Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang pada Oktober lalu kerana rumah kami terbabit dengan pembinaan Jalan Kampung Mentara-Bandar Gua Musang.

“Sepatutnya pihak terbabit selesai dahulu penempatan baharu untuk kami kerana kami tiada lagi tempat lain untuk berpindah. Kesihanlah nasib kami yang hidup semakin tertekan dengan masalah dihadapi yang belum ada jalan penamatnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 November 2019 @ 12:30 PM