KEADAAN banjir di Pasir Puteh pada 3 Disember lalu. FOTO Bernama
KEADAAN banjir di Pasir Puteh pada 3 Disember lalu. FOTO Bernama
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Hujan lebat sejak malam tadi menyebabkan dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Tanah Merah malam ini.

Pemindahan itu membabitkan 18 mangsa banjir daripada enam keluarga yang mula dipindahkan jam 8 malam tadi.

Dua PPS berkenaan ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Lawang dan SK Kelewek.

Berdasarkan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat jam 9 malam, SK Lawang menempatkan 10 mangsa daripada empat keluarga.

SK Kelewek pula membabitkan lapan mangsa daripada dua keluarga.

Berdasarkan keadaan hujan lebat setakat malam ini, dijangka lebih banyak lokasi yang akan dilanda banjir.

Semalam, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) meramalkan banjir bakal berlaku mulai jam 10 malam ini di jajahan Gua Musang dan Kuala Krai berikutan kenaikan paras air di Sungai Galas, Sungai Nal, dan Sungai Pahi disebabkan hujan lebat.

Di jajahan Gua Musang, kawasan yang terbabit adalah Kampung Limau Kasturi dan kawasan sekitar, manakala di jajahan Kuala Krai pula ialah Kampung Bedal; Kampung Bukit Sireh; Taman Warisan; Kampung Kuala Pertang; Kampung Ngagoh dan Kampung Pahi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Disember 2020 @ 9:32 PM