KEADAAN banjir di sekitar negeri Kelantan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
KEADAAN banjir di sekitar negeri Kelantan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Mangsa banjir di Kelantan meningkat mendadak kepada 2,046 orang yang kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS), setakat 5 petang ini.

Semua mangsa membabitkan 472 keluarga itu ditempatkan di 24 PPS di lima daerah iaitu iaitu Gua Musang, Jeli, Tanah Merah, Pasir Mas dan Kuala Krai.

Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), mangsa banjir berkenaan membabitkan 653 lelaki dewasa, 673 wanita dewasa, 374 kanak-kanak dan bayi lelaki, 346 kanak-kanak dan bayi perempuan, 70 warga emas serta 10 orang kurang upaya (OKU).

Mangsa banjir di Gua Musang mencatatkan peningkatan iaitu kepada 1,416 orang yang berada di enam PPS berbanding 1,058 pada 3 petang tadi.

Satu PPS baharu dibuka di Gua Musang iaitu di Balai Raya Felda Chiku 3 yang menempatkan 191 mangsa.

Sementara itu, jumlah mangsa di Kuala Krai juga meningkat kepada 436 orang di 12 PPS, manakala 91 orang di tiga PPS di Jeli; 67 orang di dua PPS di Tanah Merah dan 36 orang di satu PPS di Pasir Mas.

Menurut portal eBanjir Kelantan, beberapa jalan yang masih ditutup kepada semua kenderaan termasuk Jalan Bukit Sireh/ Kampung Bedal/ Kuala Nal, Jalan Jirat dan Jalan masuk ke Kampung Baru Pahi di Kuala Krai.

Selain itu, Jalan Pangkal Meleret - Limau Hantu dan Jalan Machang - Pangkal Meleret - Wakaf Bata, Jalan Kampung Kuala Hau/ Temangan, di Machang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Disember 2021 @ 6:48 PM