FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


LELAKI ditemui maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat atas kondominium di Bandar Sri Permaisuri, Cheras, Kuala Lumpur, hari ini.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu kira-kira 6 pagi tadi.

“Kami menerima panggilan daripada orang awam yang memaklumkan ada seorang lelaki terjun dari tingkat atas kondominium berkenaan.

“Sebaik tiba, kami menemui mayat lelaki itu di lokasi terbabit,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Mohamed Mokhsein berkata, pemeriksaan dilakukan mendapati lelaki berkenaan adalah warga tempatan berusia 32 tahun.

“Mangsa yang bekerja sebagai ejen kad kredit dan tinggal menyewa di unit kondominium berkenaan bersama rakan.

“Pemeriksaan dilakukan pada badan mangsa mendapati tiada unsur-unsur jenayah,” katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut berhubung kejadian itu sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian.

“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Canselor Tuanku Muhriz untuk bedah siasat esok.

“Setakat ini, kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 November 2019 @ 2:15 PM