RAKAMAN CCTV menunjukkan suspek menghampiri mangsa sebelum meragutnya. FOTO Ihsan pembaca.
RAKAMAN CCTV menunjukkan suspek menghampiri mangsa sebelum meragutnya. FOTO Ihsan pembaca.
Nurul Hidayah Bahaudin


DUA lelaki ditahan kerana meragut wanita China hingga mangsa cedera di hadapan kondominium dekat Bandar Sri Permaisuri, Cheras, Kuala Lumpur.

Mereka yang berusia 26 dan 27 tahun ditahan di sekitar Bandar Tun Razak pada 2.30 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, penahanan susulan kejadian pada 3.40 petang kelmarin.

“Ketika kejadian itu, mangsa berusia 44 tahun dihampiri suspek yang menunggang dua motosikal di kawasan terbabit, sebelum seorang daripadanya menarik beg tangan mangsa.

“Keadaan itu menyebabkan mangsa jatuh di atas jalan raya dan cedera di bahagian mata selain kaki dan tangannya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamed Mokhsein berkata, mangsa kehilangan pasport, telefon bimbit, gelang tangan perak dan wang tunai berjumlah RM4,000.

Katanya, susulan laporan, pihaknya berjaya menahan suspek dan menemui lapan paket plastik berisi dadah jenis Methamphetamine seberat 5.5 gram dan pil Eramin 5 seberat 0.2 gram.

“Selain itu, turut ditemui dua beg, lima telefon bimbit dan beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk kegiatan curi motosikal,” katanya.

Menurutnya, semakan terhadap nombor pendaftaran motosikal digunakan suspek turut mendapati kenderaan itu dilaporkan hilang di Petaling Jaya dan suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan samun, curi motosikal serta dadah.

“Kedua-duanya positif dadah jenis Methamphetamine dan ditahan di lokap Balai Polis Cheras sehingga reman diperoleh.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan, Seksyen 379 (A) Kanun Keseksaan, Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 12 (2) dan Seksyen 15 (1) (a) akta yang sama,” katanya.

Kejadian itu tular selepas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi berkenaan dimuat naik di media sosial sejak semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Julai 2019 @ 1:59 PM