LOKASI mangsa ditemui, pagi hari ini. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin.
LOKASI mangsa ditemui, pagi hari ini. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin.
Nurul Hidayah Bahaudin


SEORANG lelaki meninggal dunia selepas terjatuh dari tingkat atas sebuah apartmen di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 6 pagi itu, mangsa berusia 21 tahun ditemui dalam terbaring di atas laluan keluar dari tempat letak kenderaan apartmen itu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Shaharudin Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada seorang lelaki berhubung kejadian pada 6.53 pagi.

“Pemeriksaan di lokasi menemui mangsa terbaring dengan kepalanya berdarah dan tidak berkasut. Namun sebelah kakinya memakai stokin berwarna hitam.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Shaharudin berkata, pemeriksaan lanjut menemui sebelah lagi stokin dipercayai milik mangsa di tempat letak kenderaan di tingkat 5A bangunan itu.

Katanya, turut ditemui kunci kereta dipercayai milik mangsa di tingkat sembilan, namun keretanya jenis Mazda di tingkat lima.

“Forensik dipanggil bagi membantu siasatan kerana kematian mangsa meragukan dan disyaki terdapat unsur jenayah,” katanya.

Beliau memberitahu mayat dihantar ke Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mac 2019 @ 2:12 PM