ANGGOTA tentera yang hilang di Pulau Perak. FOTO Arkib NSTP.
ANGGOTA tentera yang hilang di Pulau Perak. FOTO Arkib NSTP.
Mohd Husni Mohd Noor


DEWAN Rakyat hari ini dimaklumkan bahawa kebajikan ahli keluarga dua anggota tentera yang hilang ketika bertugas di kawasan operasi Op Pejarak di Pulau Perak, Kedah, 19 Julai lalu tidak pernah diabaikan..

Timbalan Menteri Pertahanan Liew Chin Tong berkata, pada 23 Oktober lalu, lembaga siasatan memuktamadkan dua anggota berkenaan hilang namun, kebajikan ahli keluarga mangsa tetap dibela.

“Bagi Koperal David Edmund Rapi, gajinya tetap disalurkan ke dalam akaun isterinya kerana perlu menjaga tiga anak.

“Namun, bagi Lans Koperal Moses Logers pula, mangsa belum berkahwin dan tiada ibu bapa justeru, gajinya dihentikan,” katanya pada sesi soal jawab hari ini.

Liew berkata demikian menjawab soalan Datuk Seri Richard Riot Anak Jaem (GPS-Serian) mengenai bentuk bantuan dan kebajikan disediakan Kementerian Pertahanan kepada ahli keluarga mangsa.

Operasi mencari dan menyelamat kedua-dua anggota tentera itu ditamatkan pada 26 Julai 2019 selepas tiada perkembangan positif dan operasi akan dibuka semula jika ada petunjuk baharu.

Sebelum ini, kes kehilangan anggota ATM di Pulau Perak pernah berlaku pada 3 Oktober 2016 membabitkan Koperal Johbartlee Kanil, 32, dari Sabah dan Koperal Mohd Faizol Rosli, 29, dari Kampung Sungai Limau, Pulai, Baling.

Mereka terjatuh ke laut ketika sedang mengambil air, dengan hanya Mohd Faizol ditemui dalam jarak 30 meter dari Pulau Perak selepas empat hari hilang oleh anggota Pasukan Khas Laut (PASKAL).

Berita berkaitan

2 tentera hilang di Pulau Perak

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 November 2019 @ 12:23 PM