Nur Wasim Aqilah, 3, (kiri) memegang gambar bapanya Koperal Mohd Faizol Rosli yang hilang di laut di Pulau Perak dekat Langkawi, bersama ibunya Siti Aminah Abd Hamid, 30, dan adiknya Nur Maisara Saadiyyah, 1. - Foto Bernama
Nur Wasim Aqilah, 3, (kiri) memegang gambar bapanya Koperal Mohd Faizol Rosli yang hilang di laut di Pulau Perak dekat Langkawi, bersama ibunya Siti Aminah Abd Hamid, 30, dan adiknya Nur Maisara Saadiyyah, 1. - Foto Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Tiga kapal tentera laut Indonesia turut membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua anggota tentera darat Malaysia yang hilang di perairan dekat Langkawi pada Isnin lalu.

Turut melakukan SAR ialah tujuh kapal milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin berkata, selain itu dua helikopter jenis Super Lynx dan Fennec milik TIDM turut terbabit dalam operasi itu.

"Dengan pertambahan aset itu, kawasan pencarian bagi operasi SAR berkenaan diperluaskan lagi," katanya selepas merasmikan persidangan 'Maritime Warfare Asia 2016' di sini, hari ini.

Dua anggota dari Batalion Keempat Rejimen Renjer Diraja itu hilang selepas terjatuh ke dalam laut di Pulau Perak ketika menjalankan tugas ketenteraan.

Mereka ialah Koperal Johbartlee Kanil, 32, dari Kota Marudu, Sabah dan Koperal Mohd Faizol Rosli, 29, dari Baling, Kedah, yang berpangkalan di Oran, Perlis.

Mengulas lanjut, Ahmad Kamarulzaman berkata operasi SAR diperluaskan mengikut arus laut dan membabitkan kawasan Selat Melaka.

Turut membantu usaha pencarian ialah Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Beliau berkata operasi SAR akan diteruskan sehingga kedua-dua anggota tentera itu ditemukan.

"Kami tidak akan hentikan operasi SAR dan ia akan diteruskan sehingga waktu malam tetapi bergantung kepada cuaca," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Oktober 2016 @ 5:30 PM