SITI Norzurain Fatima memangku Siti Nurjannah Umaira. FOTO Roselan Ab Malek
SITI Norzurain Fatima memangku Siti Nurjannah Umaira. FOTO Roselan Ab Malek
Roselan Ab Malek


PENDERITAAN dialami adik Siti Nurjannah Umaira Ahmad Zainuddin, yang mengidap tujuh penyakit mendapat perhatian kariah Masjid Tengku Mahkota Abdullah (MTMA), dekat Jerantut.

Adik kecil berusia dua tahun yang mengidap ‘sindrom vacterl’, berlaku hanya satu dalam 4,000 kelahiran, terpaksa melalui pelbagai penderitaan sejak dilahirkan.

Sindrom itu mengakibatkan Siti Nurjannah Umaira menderita masalah buah pinggang, jantung, paru-paru kecil, tulang tidak sempurna, sumbing lelangit, masalah untuk menelan dan sukar untuk bercakap.

Keadaan itu menyebabkan ahli kariah masjid besar Jerantut itu mengambil keputusan untuk membantu pasangan itu meringankan beban dipikul mereka.

Pengerusi Biro Cakna dan Kebajikan MTMA, Ikhtiman Ismail berkata, pihaknya sungguh simpati dengan nasib adik Siti Nurjannah Umaira.

Katanya, pasangan Ahmad Zainuddin Abdul Rahman, 45, dan Siti Norzurain Fatima Ab Razak, 31, yang menetap di Perumahan Banjir Kuala Teh terpaksa menerima hakikat itu selepas kelahiran anak mereka di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, (HOSHAS) Temerloh mengesahkan mengidap ‘sindrom vacterl’.

“Keadaan itu menyebabkan anak itu terpaksa diletakkannya ke wad Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) selama empat bulan dan selepas itu dua bulan lagi di wad biasa sebelum boleh dibawa pulang,” katanya ketika ditemui, hari ini.

IKHTIMAN (kiri) menyampaikan sumbangan wang tunai dan barangan keperluan harian kepada pasangan Siti Norzurain Fatima dan Ahmad Zainuddin (dua dari kanan). FOTO Roselan Ab Malek
IKHTIMAN (kiri) menyampaikan sumbangan wang tunai dan barangan keperluan harian kepada pasangan Siti Norzurain Fatima dan Ahmad Zainuddin (dua dari kanan). FOTO Roselan Ab Malek

Ibunya, Siti Norzurain Fatima berkata, pada masa ini Siti Nurjannah Umaira terpaksa membuat pemeriksaan dan rawatan jantung dan buah pinggang setiap bulan di HOHSAH, manakala tiga bulan sekali terpaksa pergi ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya, untuk merawat bahagian tulang.

Menurutnya, anaknya tidak mampu berjalan dan duduk dan dengan berat hanya lima hingga enam kilogram dan dia terpaksa mendukungnya ke mana sahaja pergi,

“Siti Nurjannah Umaira hanya boleh berbaring dan boleh mengolekkan dirinya untuk bergerak dalam rumah serta tidak boleh makan sebarang makanan keras kecuali susu yang masukkan melalui tiub di hidungnya.

“Anak sulung (Ahmad Adi Putra, 10) turut mempunyai masalah jantung berlubang tetapi semakin pulih selepas dua kali membuat pembedahan. Anak kedua (Ahmad Adif Zuhairi, 7) tidak mempunyai sebarang masalah,” katanya.

Keluarga ini hanya bergantung kepada hasil jualan nasi lemak kerana suami Siti Norzurain Fatia tidak boleh membuat kerja berat kerana menghidapi sakit urat saraf sejak lima tahun lalu yang mana sebelum itu dia bekerja sebagai seorang pendawaian elektrik.

Ikhtiman berharap bantuan wang tunai serta sedikit barang makanan serta susu sekurang dapat mengurangkan beban yang ditanggung oleh keluarga ini.

Kisah Siti Nurjannah Umaira Ahmad Zainuddin yang disahkan pakar menghidap penyakit itu sejak dilahirkan diterbitkan laman sesawang Harian Metro, 21 Oktober lalu.

Berita berkaitan

Bayi derita 7 penyakit

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 November 2019 @ 9:59 AM