Mohd Khidir Zakaria


"SAYA buntu dan sedih apabila melihat keadaan anak yang akan menangis dan menjerit kesakitan apabila disapu ubat," kata ibu tunggal, Julimiyana Abd Jalil, 42, berhubung anaknya Nurjannah Shaiful, 17, yang mengidap penyakit kulit kronik.

Menurutnya, Nurjannah adalah orang kurang upaya (OKU) dan pernah bersekolah di Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Curahan Kasih namun kini terpaksa diberhentikan akibat penyakit dihadapinya sejak tiga tahun lalu.

"Pelbagai doktor pakar sudah ditemui tetapi masih tiada perubahan dan mereka hanya mampu beri ubat sapu yang hanya berfungsi mengering dan mengurangkan kegatalan buat sementara waktu.

"Sepatutnya setiap minggu Nurjannah perlu berjumpa doktor pakar. Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hanya tiga kali berjumpa doktor dengan kos ubat mencecah RM100 setiap kali. Namun kini, kami tidak lagi berjumpa doktor pakar kerana saya tidak mampu berikutan kos perubatan yang tinggi," katanya.

Julimiyana berkata penyakit itu menyebabkan kulit anaknya itu gatal dan kadang-kadang berdarah kerana kerap digaru.

KEADAAN kaki Nurjannah Shaiful, yang menghidap penyakit ‘eczema’ yang menyebabkan kegatalan dan berkudis sejak tiga tahun lalu. FOTO Mohd Khidir Zakaria
KEADAAN kaki Nurjannah Shaiful, yang menghidap penyakit ‘eczema’ yang menyebabkan kegatalan dan berkudis sejak tiga tahun lalu. FOTO Mohd Khidir Zakaria

"Nurjannah anak syurga saya. Dia suka bersekolah di PKD namun terpaksa berhenti sejak tiga tahun lalu akibat penyakit kulitnya.

"Jika boleh saya mahu dia kembali bersekolah namun dalam keadaan sekarang saya tidak pasti jika impiannya itu dapat menjadi kenyataan," katanya yang ditemui selepas menerima sumbangan dari Pertubuhan Kebajikan Asnaf Setia Kasih Negeri Sembilan (PERKASIH N9) di rumahnya di Taman Damai, Kampung Paya, Port Dickson.

Wanita itu berdepan dengan episod duka sejak tiga tahun lalu apabila suaminya terjatuh dari atap rumah dan lumpuh separuh badan sebelum meninggal Mei lalu selain diuji dengan keadaan penyakit Nurjannah.

JULIMIYANA Abd Jalil, 42, menyapu ubat krim bagi mengurangkan rasa gatal di tubuh Nurjannah Shaiful. FOTO Mohd Khidir Zakaria
JULIMIYANA Abd Jalil, 42, menyapu ubat krim bagi mengurangkan rasa gatal di tubuh Nurjannah Shaiful. FOTO Mohd Khidir Zakaria

"Saya ada tiga anak masih bersekolah dan yang sulung baru habis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan sedang mencari pekerjaan.

"Nasib baik arwah suami ada mencarum dalam Pertubuhan Kebajikan Sosial (PERKESO) ketika bekerja sebagai pemandu lori, dapatlah menampung perbelanjaan harian dan persekolahan anak-anak.

"Nurjannah ini memang manja dengan arwah ayahnya dan setiap minggu pasti dia akan minta di bawa ke pusara ayahnya untuk melepaskan kerinduannya," katanya.

JULIMIYANA Abd Jalil, 42, menyapu ubat krim bagi mengurangkan rasa gatal di tubuh Nurjannah Shaiful. FOTO Mohd Khidir Zakaria
JULIMIYANA Abd Jalil, 42, menyapu ubat krim bagi mengurangkan rasa gatal di tubuh Nurjannah Shaiful. FOTO Mohd Khidir Zakaria

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Julai 2020 @ 2:22 PM
KEADAAN tangan Nurjannah Shaiful, yang menghidap penyakit ‘eczema’ yang menyebabkan kegatalan dan berkudis sejak tiga tahun lalu. FOTO Mohd Khidir Zakaria
KEADAAN tangan Nurjannah Shaiful, yang menghidap penyakit ‘eczema’ yang menyebabkan kegatalan dan berkudis sejak tiga tahun lalu. FOTO Mohd Khidir Zakaria