MANGSA. FOTO Ihsan Polis
MANGSA. FOTO Ihsan Polis
Hadzlihady Hassan


BERANG kerana ditegur menumpang di rumah kekasih, seorang lelaki mengamuk dan melibas parang hingga menyebabkan adik teman wanitanya parah dalam kejadian di Taman Seri Kijang, di Bukit Mertajam, Isnin lalu.

Dalam kejadian 10.22 pagi itu, mangsa, remaja lelaki berusia 18 tahun luka di perut, betis kanan serta pergelangan tangan kiri dan kini menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ).

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, siasatan mendapati suspek yang tinggal di Parit Buntar, Perak kerap menumpang di rumah ahli keluarga teman wanitanya itu.

Menurutnya, adik lelaki teman wanitanya pernah memberitahu yang dia tidak suka suspek tinggal di situ dan akan memukul suspek serta kakaknya jika ternampak mereka di rumah terbabit.

“Suspek bersama teman wanita kemudian pulang ke rumahnya di Parit Buntar dan dia mengambil parang serta rotan sebelum berpatah balik ke rumah mangsa.

“Kemudian, berlaku pergaduhan antara mereka berdua sebelum suspek melibas parang ke arah adik teman wanitanya dan kejadian itu berjaya dileraikan bapa mangsa,” katanya.

Nik Ros Azhan berkata, polis yang mendapat maklumat bergegas ke lokasi kejadian dan berjaya menahan suspek yang berusia 20 tahun serta merampas parang dan rotan dalam rumah terbabit.

“Mangsa kemudian diberikan rawatan awal sebelum dikejarkan ke Hospital Bukit Mertajam namun dia yang parah dipindahkan ke HSJ untuk rawatan lanjut.

“Pemeriksaan mendapati suspek tidak mempunyai rekod lampau dan dia direman selama seminggu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2019 @ 2:05 PM