Gambar hiasan
Gambar hiasan
Hazsyah Abdul Rahman


PENGEDAR dadah cedera selepas ditembak polis dalam satu serbuan di Ladang Long Manis dekat Kinabatangan hari ini.

Lelaki berusia lingkungan 40-an itu cedera di paha dalam kejadian pada 6.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan Superintendan Dzulbaharin Ismail berkata, ketika operasi terbabit pasukan polis terserempak dengan seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan sedang berjalan menuju ke ‘port’ penagih dadah di kawasan berkenaan.

Menurutnya, ketika cuba dihampiri secara tiba-tiba suspek bertindak ganas dengan meluru ke arah polis sambil memegang parang.

“Suspek kemudiannya melibas parang ke arah pasukan polis hingga hampir terkena kepala seorang anggota operasi.

“Dalam keadaan terdesak, polis terpaksa melepaskan dua das tembakan ke arah lelaki terbabit untuk menghentikan tindakan agresifnya itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dzulbaharin berkata, hasil pemeriksaan lanjut terhadap beg sandang yang dibawa suspek berjaya menemui dua paket plastik besar berisi dadah disyaki syabu.

Abdul Malik (baju kuning)  menyerahkan sumbangan kepada anggota trafik dari IPD Shah Alam. FOTO ihsan Kohijrah.
Abdul Malik (baju kuning) menyerahkan sumbangan kepada anggota trafik dari IPD Shah Alam. FOTO ihsan Kohijrah.

Menurutnya, suspek kemudiannya dibawa ke Hospital Kinabatangan untuk mendapatkan rawatan dan seterusnya ditahan untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cuba membunuh,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Oktober 2019 @ 8:00 PM