Dua laras senjata api bersama butir peluru yang dirampas. FOTO Ihsan PDRM
Dua laras senjata api bersama butir peluru yang dirampas. FOTO Ihsan PDRM
Juwan Riduan


Kinabatangan: Empat lelaki ditahan selepas disyaki terbabit dalam aktiviti pemburuan haram di kawasan hutan simpan sekitar Tongod, di sini, semalam.

Susulan penahanan itu, turut dirampas dua laras senjata api buatan sendiri dan beberapa butir peluru.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan Dzulbaharin Ismail berkata, keempat-empat suspek warga tempatan berusia antara 28 hingga 31 tahun itu ditahan penguat kuasa Jabatan Perhutanan Sabah (JPS) di dua lokasi berasingan di kawasan hutan simpan berkenaan ketika menjalankan rondaan.

Katanya, dua aduan diterima di Balai Polis Tongod, berkenaan penahanan empat lelaki terbabit.

"Ketika penguat kuasa JPS membuat rondaan di sekitar Hutan Simpan Maliau Basin, menahan seorang lelaki dan menemui satu laras senjata api buatan sendiri bersama 10 butir peluru dalam milikan suspek.

"Suspek dipercayai menjalankan aktiviti pemburuan haram di kawasan hutan simpan berkenaan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dzulbaharin berkata, dalam kejadian berlainan, di kawasan Hutan Simpan Gunung Tinkar, Tongod, penguat kuasa khas JPS terserempak dengan kenderaan pacuan empat roda dalam keadaan mencurigakan.

"Ketika pemeriksaan menemukan satu laras senjata api buatan sendiri di bahagian belakang kenderaan berkenaan yang dinaiki tiga lelaki.

"Pemeriksaan lanjut, menemukan enam butir peluru yang diletakkan di dalam beg sandang milik suspek. Semua suspek disyaki baru bergerak menaiki kenderaan itu untuk menjalankan aktiviti pemburuan haram di kawasan hutan simpan berkenaan," katanya.

Menurutnya, keempat-empat suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kinabatangan untuk tindakan lanjut.

Katanya, dua kertas siasatan berasingan dibuka mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Mei 2022 @ 9:48 AM