PARANG panjang yang digunakan suspek. FOTO ihsan Polis
PARANG panjang yang digunakan suspek. FOTO ihsan Polis
Abdul Rahemang Taiming


PENAGIH dadah bersenjatakan parang panjang cedera ditembak ketika cuba menyerang anggota polis di kawasan ladang Yuwang Tingkayu, dekat Kunak, semalam.

Dalam kejadian 4 pagi itu, sepasukan tujuh anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah Kunak sedang menjalankan Ops Ice Breaker sebelum diserang suspek.

Ketua Polis Daerah Kunak, Superintendan Baharin Md Tahir berkata, ketika intipan dijalankan pihaknya melihat kelibat seorang lelaki mencurigakan memakai beg pinggang sedang memegang parang panjang di kawasan ladang itu.

“Anggota polis memperkenalkan diri sebelum mengarahkan suspek membuang parang dan menyerah diri namun arahan itu tidak diendahkannya.

“Walaupun beberapa kali amaran dikeluarkan, suspek bertindak lebih agresif dengan berlari meluru sambil melibas parang ke arah anggota polis bertugas.

“Bagi mempertahankan diri, anggota polis terbabit melepaskan dua das tembakan mengenai suspek,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Beliau berkata, suspek cedera di bahu kiri dan kanan dibawa ke Hospital Kunak untuk diberikan rawatan susulan.

“Selain parang panjang yang digunakan suspek kita juga merampas dadah jenis syabu seberat 17.25 gram dianggarkan bernilai sebanyak RM2587.50” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Februari 2020 @ 4:01 PM