Penguat kuasa JPJ memeriksa kenderaan dalam Operasi Khas di Jalan Pahang hari ini. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Penguat kuasa JPJ memeriksa kenderaan dalam Operasi Khas di Jalan Pahang hari ini. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Nurul Hidayah Bahaudin


SEBANYAK 178 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dalam Operasi Khas Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Jalan Pahang hari ini.

Pengarah JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Ismail Mohd Zawawi berkata, 356 kenderaan diperiksa dalam operasi bermula 8 malam tadi.

“Dalam operasi disertai 50 anggota dan pegawai itu, 178 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan seperti tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh, tiada cermin sisi, ubah suai nombor pendaftaran serta kesalahan lain.

“Kami turut menyita sembilan motosikal dan sebuah kereta yang dipandu lelaki warga asing tidak memiliki lesen memandu,” katanya pada sidang media selepas mengetuai operasi itu.

Ismail berkata, pihaknya turut menahan lelaki berusia 21 tahun yang dipercayai menunggang motosikal dalam keadaan pengaruh dadah selepas dia terbabit dalam kemalangan ketika cuba melarikan diri daripada sekatan jalan raya itu.

“Lelaki terbabit membuat pusingan U di lokasi terbabit sebelum motosikal Yamaha LC135 ditunggangnya terbabas lalu melanggar pembahagi jalan.

“Kemalangan itu menyebabkan dia cedera pada bahagian tangan dan kaki.

“Pemeriksaan mendapati lelaki itu tiada lesen memandu selain kenderaan itu diubah suai membabitkan tayar kecil, tiada brek belakang, tiada cermin sisi dan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi,” katanya.

Menurutnya, motosikal lelaki itu disita dan dia diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Sementara itu Ismail berkata, 36,421 kesalahan kenderaan direkodkan pihaknya bagi tempoh Januari hingga September lalu.

“Antara kesalahan paling banyak direkodkan adalah tiada lesen memandu, ubah suai kenderaan, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, tidak memakai topi keledar, menggunakan telefon bimbit, memotong barisan dan melanggar lampu isyarat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Oktober 2019 @ 12:03 AM