ABU Bakar (duduk kiri) ketika hadir ke pengebumian Sodiq di Tanah Perkuburan Islam Taman Purnama di Simpang Renggam, hari ini. FOTO Adnan Ibrahim.
ABU Bakar (duduk kiri) ketika hadir ke pengebumian Sodiq di Tanah Perkuburan Islam Taman Purnama di Simpang Renggam, hari ini. FOTO Adnan Ibrahim.
Adnan Ibrahim


“AYAH ampunkan dosamu nak, moga dilindungi Allah serta diletakkan dalam golongan orang beriman,” kata Abu Bakar Daud, 67, ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Taman Purnama, Simpang Renggam, hari ini.

Abu Bakar kehilangan arwah anaknya, Sodiq Abu Bakar, 40, yang maut bersama dua lagi mangsa dalam kemalangan di FELDA Nitar, Mersing, 1.40 tengah hari semalam.

Abu Bakar berkata, keluarganya bersyukur serta reda dengan pemergian anak kedua daripada 10 adik beradik itu.

Katanya, mereka sekeluarga amat terharu dengan keprihatinan masyarakat setempat serta rakan yang tidak putus-putus mengucapkan takziah kepadanya walaupun ada kalangan mereka tidak dikenali.

“Apa sahaja dosanya, saya ampunkan dunia akhirat kerana arwah seorang amat baik selain tidak pernah berkira untuk membantu sesiapa sahaja yang memerlukan selagi berkemampuan.

“Saya berharap rakan seperjuangan serta siapa sahaja dapat memaafkan arwah jika ada salah dan silap sepanjang hayatnya sama ada sengaja atau tidak,” katanya.

Dalam kemalangan 1.40 tengah hari semalam, Sodiq bersama dua lagi kakitangan Pengurusan Sekolah Rendah Agama As-Sidiq maut selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 23, Jalan Nitar-Mersing.

Sodiq dikebumikan dalam satu liang lahad bersama Shamjudin Romani di Tanah Perkuburan Islam Taman Purnama pada 10.30 pagi.

Jenazah seorang lagi mangsa, Mohd Khairy Abd Jaafar, 37, yang berasal dari Felda Taib Andak, Kulai dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Paya, Jalan Benut pada 9.30 pagi.

Sementara itu, Guru Besar Sekolah Rendah Agama As-Sidiq, Mohd Yusof Kaslan yang turut serta dalam program Himpunan Lepasan Pendidikan Malaysia (HALUAN) di Mersing amat terkejut dengan kejadian itu.

“Tiga orang penting di dalam sekolah agama ini pergi serentak buat selama-lamanya dan ia satu kehilangan amat dirasai bukan sahaja kepada warga pendidik, malah murid.

“Kenangan paling manis bersama mereka bertiga adalah ketika mula-mula menubuhkan sekolah ini sekitar 2001 dan ia akan terpahat dalam ingatan,” katanya.

Berita berkaitan

'Ini panggilan 'last' saya...'

'Ajal pengetua bersama dua kakitangan'

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 September 2019 @ 6:48 PM