ZUBAIDAH (tiga kanan) dan Uwais Rayyan (depan) meninggal dunia dalam kemalangan di Kilometer 20 Jalan Nitar-Mersing. FOTO ihsan keluarga
ZUBAIDAH (tiga kanan) dan Uwais Rayyan (depan) meninggal dunia dalam kemalangan di Kilometer 20 Jalan Nitar-Mersing. FOTO ihsan keluarga
Mary Victoria Dass


Mersing: "Anak sulung arwah dapat memahami ibu dan adik bongsnya tidak akan pulang. Dia meronta-ronta apabila menerima berita pemergian dua insan kesayangan itu," kata Zaimah Zakaria, 39.

Dalam kejadian pagi tadi, Zubaidah Zakaria, 33, dan anak lelakinya, Uwais Rayyan Mohamad, 4, meninggal dunia akibat kemalangan berhampiran Ladang Paya Munis.

Zaimah berkata, dia sekeluarga menerima berita buruk berkaitan kejadian menimpa adik ketiganya dan anak saudaranya berusia empat tahun pada 8.30 pagi tadi.

Menurutnya, suami arwah, MohamadHassan, 30-an, menghubungi bapanya sebelum meminta untuk melihat kumpulan WhatsApp keluarga.

"Adik ipar saya tidak dapat berbual seperti biasa dengan ayah kerana dia masih terkejut dengan kejadian menimpa arwah dan anak bongsunya.

"Apabila mendapat makluman ibu dan adik bongsu sudah tiada, anak saudara perempuan saya iaitu anak sulung arwah meronta-ronta dengan menyatakan 'nak mama, nak adik.'

"Anak sulung arwah berusia 10 tahun dan anak kedua perempuannya dapat memahami apa yang berlaku dan amat sedih dengan kejadian menimpa ibu dan adik mereka," katanya.

Zaimah berkata, kejadian berlaku apabila adiknya, Zubaidah Zakaria, 33, dalam perjalanan dari Felda Nitar 2 ke rumah ibunya di Felda Tenggaroh.

Menurutnya, dia bersama tiga cahaya mata ke rumah ibunya sejak pagi Isnin lalu sempena cuti sekolah namun arwah pulang ke Felda Nitar 2 pada malam Isnin selepas menerima berita pemergian abang iparnya.

Katanya, arwah hanya membawa anak bongsu, Uwais Rayyan Mohamad, 4, manakala dua orang anak perempuan iaitu Nurul Najwa Maisara dan Nurul Erina Sofia ditinggalkan di rumah ibu.

"Ketika kejadian dia meminjam kereta suami saya kerana keretanya mengalami kerosakan.

"Dia bermalaman di Felda Nitar 2 dan bergerak dari Felda Nitar 2 kira-kira 7 pagi dan sepatutnya sampai ke rumah ibu pada 8.30 pagi.

"Tidak sangka arwah dan anak bongsunya menghadap pencipta pada hari ini dan kehilangan mereka merupakan kehilangan besar bagi keluarga kami," katanya.

Zaimah berkata, arwah seorang yang bertanggungjawab dan mengurus perjalanan anaknya ke sekolah pada setiap hari.

"Dia juga amat peramah dan seorang yang penyayang serta mendidik kedua-dua anaknya berdikari, bijak mengurus diri.

"Tidak sangka perancangannya untuk mendaftarkannya Uwais ke sekolah tadika pada bulan depan tidak kesampaian.

"Kemungkinan jenazah arwah adik dan Uwais akan dikebumi di Felda Nitar," katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Mersing, Superitendan Abdul Razak Abdullah Sani berkata, kejadian berlaku di Kilometer 20 Jalan Nitar-Mersing membabitkan kereta dan lori.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila Perodua Viva dari arah Felda Nitar menuju ke Bandar Mersing hilang kawalan lalu terbabas dan berpusing sebelum dirempuh lori dari arah yang sama.

"Akibat kemalangan berkenaan pemandu kereta bersama anak lelakinya berusia empat tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Kes disiasat mengikut bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya menerusi kenyataan media.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Disember 2023 @ 2:24 PM